PKP: Panduan pembelajaran komprehensif perlu dibekalkan kepada ibu bapa

Hasimi Muhamad
April 10, 2020 05:38 MYT
Pelbagai aspek termasuk prasarana perlu dikaji semula dalam memastikan Malaysia benar-benar bersedia untuk melaksanakan PdP dari rumah. - Gambar hiasan
Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menyediakan panduan komprehensif, termasuk kepada ibu bapa, dalam membantu proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pensyarah Kanan (Pendidikan Dewasa & Pendidikan Jarak Jauh), Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Aira Abd Rahim berkata, penyediaan rancangan pengajaran misalnya, boleh menjadi rujukan kepada ibu bapa dalam memastikan keberkesanan sistem pembelajaran.
BACA: Pembelajaran alam maya: Ini solusi ketika berdepan COVID-19
Pada masa yang sama ujarnya, pelan penyampaian alternatif perlu dibentuk dengan segera berdasarkan zon, lokasi serta taburan sosio-ekonomi pelajar yang terlibat.
“Bagi rumah yang mempunyai kesediaan teknologi yang tinggi, kaedah secara atas talian boleh terus dilaksanakan di rumah.
“Kaedah penyampaian alternatif yang lain termasuk TV Pendidikan dan juga bahan bercetak yang dihantar terus kepada pelajar di alamat rumah masing-masing.
“Bagi ibu bapa pula, salah satu cara berkesan untuk melaksanakan pembelajaran di rumah adalah dengan membuat jadual pembelajaran setiap hari untuk diikuti oleh anak-anak.
“Eratkan hubungan anda dengan anak-anak dan guru-guru mereka kerana peranan guru pada masa ini adalah sebagai penghubung aktif dan juga sumber rujukan sekiranya ibu bapa memerlukan bantuan untuk mengajar anak-anak di rumah,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
BACA: PKP hampir sebulan kurangkan penularan COVID-19 - Muhyiddin
Mengulas lanjut, beliau berkata model bersesuaian yang diguna pakai oleh beberapa negara lain boleh dinilai dan diadaptasi mengikut fasiliti dan keperluan rakyat negara ini.
Bagaimanapun, kebanyakan negara tersebut turut berdepan isu jurang digital khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).
“Kita juga perlu mengambil kira anak-anak yang ibu bapa mereka merupakan frontliners atau bekerja di sektor kritikal. Siapakah yang akan mengambil alih tugas mengajar anak-anak ini di rumah?
“Contohnya, di Netherlands mereka buka sekolah kepada anak-anak yang ibu bapanya bekerja di dalam perkhidmatan kritikal atau essential services.
“Mereka juga membuka beberapa pusat pendidikan yang mempunyai fasiliti komputer dan internet untuk digunakan oleh pelajar yang tiada akses kepada fasiliti tersebut.
"Kesemua ini dilaksanakan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai aspek termasuk prasarana perlu dikaji semula dalam memastikan Malaysia benar-benar bersedia untuk melaksanakan PdP dari rumah.
BACA: Pembelajaran dari rumah sepanjang PKP
Jelasnya, berdasarkan tinjauan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), sebanyak 48 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai akses komputer di rumah untuk tujuan pembelajaran.
Manakala, 23 peratus atau dianggarkan 1.3 juta pelajar tidak mempunyai akses internet.
“Dalam laporan yang sama, hanya 50 peratus pengetua sekolah-sekolah di Malaysia berpandangan, guru-guru di Malaysia bersedia dan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengintegrasikan penggunaan digital ke dalam PdP mereka.
“Jadi, setiap satu aspek ini perlu diteliti dan ditambahbaik sebelum kita boleh katakan yang kita telah benar-benar bersedia. Ia bergantung kepada cara penyampaian dan pelan pengajaran alternatif yang akan dibentuk dan disediakan kepada para pelajar,” katanya,
Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP terpaksa dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 15 April hingga 28 April.
Susulan itu, Muhyiddin berkata beliau telah meminta KPM supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau ‘ home based learning’ sepanjang tempoh PKP sehingga sekolah kembali dibuka.
#B40 #belajar di rumah #COVID-19 #guru #home based learning #komputer #Muhyiddin Yassin #Netherlands #Nur Aira Abd Rahim #pdp #pendidikan #perintah kawalan pergerakan #PKP #prasarana #pusat pendidikan #Sekolah tangguh #tv pendidikan
;