PKP: Majoriti pelajar UPM di kampus, berhasrat pulang ke kampung halaman - Tinjauan

Hakim Rahman
April 12, 2020 16:59 MYT
Hasil bancian dijalankan mendapati 85 peratus pelajar di kampus itu ingin pulang ke kampung halaman. - Foto Astro AWANI.
Rata-rata pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini berada di kampus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahu pulang ke kampung halaman masing-masing berbanding terus tinggal di kampus.
Menurut Timbalan Naib Yang Dipertua Kebajikan dan Infrastruktur, Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Khairul Amirin Khairudin, dapatan itu diperolehi hasil bancian yang dilakukan terhadap lebih 2,000 pelajar UPM yang berada di kampus Serdang dan Bintulu.
"Hasil bancian yang dilakukan mendapati 85 peratus pelajar-pelajar yang berada di kampus ketika ini ingin pulang manakala selebihnya ingin tinggal di kampus sehingga PKP ditamatkan.
"Keinginan segelintir pelajar untuk tidak pulang itu bertitik-tolak kepada beberapa faktor antaranya, kekurangan capaian internet dan lokasi pembelajaran yang tidak kondusif di rumah," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Khairul berkata ketika ini Majlis Perwakilan Pelajar UPM bekerjasama dengan Unit Kaunseling UPM dalam memberikan sokongan psikologi secara dalam talian kepada pelajar-pelajar di kampus.
Malah soal kebajikan mereka juga dijaga baik dengan pelajar mendapat bekalan makanan yang mencukupi.
Jumaat lalu, Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Noraini Ahmad, berkata pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar yang berada di kampus ke rumah masing-masing susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.
Bagaimanapun pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi syor dan menasihat KPT supaya bersabar dalam tempoh seminggu dua sebelum membenarkan pelajar IPT pulang ke kampung masing-masing.
#coronavirus #COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #kampus #kesihatan #koronavirus #menteri #Noor Hisham Abdullah #pelajar #rumah #UPM
;