PKP: MAIPSs tambah peruntukan bantu golongan asnaf
Bernama
Mac 26, 2020 13:26 MYT
Mac 26, 2020 13:26 MYT
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menambah peruntukan bagi membantu golongan asnaf di negeri ini setelah kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang Dipertua MAIPs, bertitah langkah proaktif MAIPs itu sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar membantu mereka yang memerlukan dan terkesan sepanjang tempoh PKP.
"Antara inisiatif baharu tambahan MAIPs adalah dengan penyaluran peruntukan sebanyak RM765,000 di bawah 'Program Bantuan Khas Kecemasan Masjid MAIPs' yang akan diagihkan kepada 102 kariah masjid di seluruh Perlis," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan MAIPs hari ini.
Bantuan berkenaan menyasarkan golongan yang terjejas kerana tiada sumber pendapatan akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh PKP.
Mereka yang mempunyai keperluan berkenaan boleh menghubungi amil kariah masing-masing bermula 30 Mac ini, walaupun sebelum ini tidak disenaraikan dalam kalangan penerima sumbangan MAIPs.
Selain itu, MAIPs turut melaksanakan tambahan sumbangan sebanyak RM321,200 untuk 1,606 penerima 'Bantuan Sarahidup Berkala MAIPs' di bawah inisiatif 'Bantuan Khas Rangsangan Asnaf MAIPs' ekoran penularan wabak COVID-19.- BERNAMA
#asnaf
#bantuan
#Bantuan Khas Kecemasan Masjid
#MAIPs
#Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
#PKP
#Raja Muda Perlis
#Tuanku Syed Faizuddin