PKP: Liga M boleh dipertimbangkan jika dilewatkan selepas Ogos - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
April 28, 2020 16:07 MYT
April 28, 2020 16:07 MYT
Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran penganjuran Liga Malaysia (Liga M) jika saingan itu diadakan pada bulan Ogos atau September, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, buat masa ini, kerajaan kekal dengan keputusan tidak membenarkan sebarang acara sukan termasuk Liga M dianjurkan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
Beliau berkata, larangan tersebut termasuk cadangan untuk mengadakan pertandingan tanpa kehadiran penonton di stadium.
"Setakat ini keputusan masih kekal. Saya pun dah sebut beberapa hari lepas iaitu liga bola sepak kita belum benarkan.
"Bagaimanapun jika ada permohonan secara rasmi oleh pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) atau Kementerian Belia dan Sukan, kita akan tengok perkara ini (semula).
"Seperti mana saya sebutkan (sebelum ini), walaupun PKP ditamatkan sekali pun, SOP (mencegah penularaan COVID-19) masih lagi kita akan teruskan.
"Misalnya dari segi perhimpunan beramai-ramai dan sukan berkumpulan mungkin masih tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media harian di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusan tersebut sekiranya perlawanan Liga M berlangsung pada bulan Ogos atau September, berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
"Saya dIfahamkan Liga M akan bermula pada bulan Jun, kalau bulan Jun saya kira terlalu rapat walaupun PKP sudah ditamatkan. Mungkin tempoh satu hingga dua bulan selepas PKP ditamatkan, ia terlalu awal untuk kita benarkan.
"Tetapi sekiranya pada Ogos atau September dengan SOP yang dikatakan tadi, iaitu tanpa penonton, kita mungkin boleh pertimbangkan," ujarnya.