Menurut Exco Mercy Malaysia Bahagian Kesihatan Mental dan Pasukan Sokongan Psikososial, Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid, purata panggilan diterima setiap hari mula meningkat ketika PKP fasa kedua dijalankan.
“Secara purata, kami di Mercy Malaysia menerima 20 hingga 30 panggilan telefon semenjak ia dilancarkan.
“Namun, sejak PKP fasa kedua bermula, berlaku peningkatan dalam jumlah panggilan diterima iaitu kira-kira 200 hingga 250 panggilan setiap hari,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
BACA: COVID-19: PKP dilanjutkan dua minggu lagi
Jelas beliau, kebanyakan panggilan diterima melibatkan pelbagai jenis kes termasuk yang ingin mendapatkan sokongan dari segi informasi, emosi serta fizikal.
“Ada kes di mana ahli keluarga yang terputus hubungan dan mereka yang tidak dapat pulang berjumpa anak-anak dan ibu bapa.
“Ada juga yang risaukan ibu bapa yang tinggal berseorangan dan mengalami masalah kesihatan yang kronik dan serius.
“Selain itu, ada juga warga emas yang menelefon kami serta meminta nasihat bagaimana ingin membuat panggilan ke hospital dan juga yang bertanya bagaimana ingin membuat pesanan makanan,” katanya.
Tambahnya, tidak kurang juga pemanggil yang menyuarakan kerisauan terhadap simptom yang mereka alami berkaitan COVID-19, kesihatan mental dan juga tekanan dialami akibat hilang punca pendapatan.
Ditanya mengenai keberkesanan talian sokongan emosi itu dalam membantu rakyat Malaysia yang terjejas, Dr Hariyati berkata, ia tidak dapat dipastikan sejauh mana keberkesanannya.
Biarpun begitu, katanya, peningkatan jumlah panggilan berkemungkinan secara jelas boleh dijadikan indikator bahawa inisiatif bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini sedikit sebanyak membantu.
“Kami mendapat banyak panggilan telefon yang meminta sokongan emosi sejak beberapa minggu lalu.
“Ada kalangan mereka yang telah menyarankan ahli keluarga dan kenalan mereka untuk menelefon talian kami untuk bantuan sokongan emosi dan psikososial.
"Kami juga menerima panggilan susulan yang berterima kasih dengan bantuan diberikan,” katanya.
Mengulas situasi rakyat Malaysia yang berdepan pelbagai kekangan dan ketidaktentuan sepanjang PKP ini, katanya, penting untuk mereka menumpukan kepada penjagaan kesihatan fizikal diri dan kesejahteraan mental selain menitikberatkan gaya pemakanan yang sihat.
BACA: PKP: Sokongan emosi berdepan ketidaktentuan, ini senarai talian psikososial
BACA: Perlukan pertolongan? Ini langkah-langkah hadapi keganasan rumah tangga
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhubung secara atas talian dengan orang tersayang bagi mengelakkan diri daripada berasa keseorangan serta membina empati sesama sendiri.
“Rakyat Malaysia juga perlu kurangkan masa di media sosial terutama berhubung COVID-19 kerana dibimbangi akan meningkatkan lagi kerisauan, selain perlu dapatkan informasi yang sahih sahaja.
“Kami risau ada yang tidak mendapat sokongan emosi di peringkat awal dan ini boleh mendatangkan kesan yang lebih serius jikalau krisis wabak dan PKP ini berterusan.
“Jadi, jika anda tahu mereka di luar sana yang memerlukan sokongan emosi dan psikososial, mintalah mereka telefon kami,” tambah beliau.
Semua petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi akibat COVID-19 boleh hubungi di talian 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935.
Waktu operasi perkhidmatan ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari (kecuali bulan Ramadan sehingga 4.30 petang).