PKP: Kolam pancing, kelong, rumah rakit dibenar beroperasi bermula esok
Astro Awani
Februari 11, 2021 19:17 MYT
Februari 11, 2021 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan operasi kolam pancing, rumah bot, kelong, rumah rakit dan bot memancing berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat berkuat kuasa esok (12 Februari 2021).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini menerima rayuan melibatkan pengusaha-pengusaha industri itu yang hilang mata pencarian.
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan adalah:
SOP kolam pancing, pelantar pancing (kelong), rumah rakit
• Kolam pancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan PBT dan Jabatan Perikanan Malaysia, manakala rumah rakit dan kelong perlu berdaftar dengan PBT sahaja.
• Semua premis hendaklah memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter antara setiap pemancing semasa aktiviti. Tempat duduk pemancing ditandakan dengan jelas.
• Premis juga hendaklah menyediakan pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, menyediakan pensanitasi tangan atau sabun untuk mencuci tangan, melakukan saringan suhu selain melaksanakan sanitasi setiap dua jam mulai masa dibuka sehingga premis ditutup. Premis juga hendaklah disanitasi secara keseluruhan selepas ditutup.
• Masa operasi yang dibenarkan adalah bermula dari 8.00 pagi sehingga jam 10.00 malam.
• Sebarang pertandingan memancing adalah tidak dibenarkan sama sekali.
SOP rumah bot/ sewaan bot atau sampan memancing
• Mana-mana perkhidmatan rumah bot/ sewaan bot atau sampan memancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan PBT dan Jabatan Perikanan Malaysia.
• Bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak lebih 50 peratus daripada kapasiti asal.
• Pemilik rumah bot hendaklah menyediakan pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, menyediakan pensanitasi tangan atau sabun untuk mencuci tangan dan melakukan saringan suhu.
SOP bot/vesel memancing
• Pemilik bot/vesel perlu mempunyai lesen Jabatan Laut dalam tempoh yang sah dan berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia.
• Kapasiti bot/vesel tidak melebihi 50 peratus daripada bilangan penumpang maksimum.
• Pemilik bot/vesel juga hendaklah menyediakan pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, menyediakan pensanitasi tangan atau sabun untuk mencuci tangan dan melakukan saringan suhu.
• Walau bagaimanapun, pesta dan sebarang pertandingan memancing adalah tidak dibenarkan.
SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Perikanan Malaysia dan MKN.
#SOP
#penjarakan sosial
#COVID-19
#Memancing
#pancing
#PKP
#ismail sabri yaakob
#kolam
#bot
#pertandingan memancing
#kelong
#rumah bot
#Houseboat
#rumah rakit