PKP: KKR tumpu tiga aspek dalam SOP sektor pembinaan - Fadillah
Isabelle Leong
April 22, 2020 15:19 MYT
April 22, 2020 15:19 MYT
Kementerian Kerja Raya (KKR) memberikan tumpuan kepada tiga aspek dalam prosedur operasi standard (SOP) sektor pembinaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.
Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagi tiga aspek ini ia melibatkan tapak pembinaan, pergerakan pekerja dan tempat tinggal pekerja.
“Dalam SOP ini, kami memberikan tumpuan kepada tapak pembinaan itu sendiri.
“Yang kedua, pergerakan pekerja dan ketiga ialah di tempat tinggal pekerja yang disediakan majikan atau agensi-agensi.
“Ia supaya mereka dapat mengurus tadbir dan mematuhi segala keperluan untuk memastikan jangkitan penularan COVID-19 dapat dikawal dan memastikan pengamalan yang baik seperti apa yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM),” kata Fadillah pada sidang media mengenai prosedur operasi standard (SOP) pembinaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.
Beliau berkata kementeriannya bekerjasama erat dengan kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sumber Manusia berhubung perkara tersebut.
“KKR memandang serius keperluan mengimbangi soal nyawa dan kehidupan (life and livelihood), yakni soal hidup dan kesihatan, serta soal menyara kehidupan.
“Biarpun sesetengah syarikat akan dibenarkan beroperasi, namun SOP dan Garis Panduan perlu dipatuhi bagi melindungi pekerja industri pembinaan dan juga masyarakat umum daripada risiko penularan wabak COVID 19 ini,” katanya.
#Fadillah Yusof
#Kementerian Kerja Raya
#KKR
#pembinaan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#prosedur operasi standard
#SOP