PKP: Kertas siasatan wanita maki polis sudah lengkap - Polis
Afiezy Azaman
April 2, 2020 11:52 MYT
April 2, 2020 11:52 MYT
Polis telah melengkapkan siasatan kes seorang wanita berusia 30-an yang menjerit dan memaki anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya Op COVID-19 di Persiaran Surian, Petaling Jaya, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kertas siasatan kes itu akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya.
“Hari ini (Khamis), kita akan bawa kertas siasatan kes wanita terbabit yang ditahan kerana memanggil polis ‘idiot’ ke timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan (dibuat).
“Sekiranya, mendapat arahan (tuduh) esok pagi suspek akan didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Selasa lepas, media melaporkan tindakan seorang wanita menjerit dan memaki anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di Persiaran Surian, Petaling Jaya.
Wanita berkenaan dikatakan berang selepas terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas berikutan pemeriksaan dilakukan polis dan tentera di lokasi itu.
Dia kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
#hon
#idiot
#Nik Ezanee Mohd Faisal
#pemeriksaan
#Persiaran Surian
#Petaling Jaya
#polis
#Sekatan Jalan Raya
#tidak puas hati
#Timbalan Pendakwa Raya
#wanita