PKP: Kerajaan sedaya upaya pastikan tiada rakyat yang hilang pekerjaan - PM

Firdaus Azil
April 25, 2020 22:35 MYT
Muhyiddin sedar amat sukar untuk syarikat, terutamanya dari industri kecil dan sederhana (IKS) untuk terus menjaga pekerja masing-masing. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan adalah menjadi antara keutamaan beliau untuk memastikan tiada rakyat Malaysia hilang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat fasa ini.
Namun, bagi Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau sedar amat sukar untuk syarikat, terutamanya dari industri kecil dan sederhana (IKS) untuk terus menjaga pekerja masing-masing dalam era ekonomi yang merudum akibat impak COVID-19 di negara ini.
Atas sebab itu, beliau berkata, kerajaan mengambil beberapa langkah pendekatan, termasuk melalui pengumuman pakej rangsangan ekonomi bagi membantu meringankan beban syarikat sepanjang tempoh PKP.
“Kerana Malaysia terbentuk atas dasar ekonomi yang kukuh yang telah berkembang lama, dalam bentuk bisnes apa pun sudah ada di situ. Kita tidak boleh biarkan keadaan itu runtuh. Kerana dengan sebab kegiatan ekonomi, kerajaan memungut cukai.
“Tapi dalam keadaan kalau bisnes sudah rosak, atau rugi, mana pendapatan yang kerajaan boleh tampung untuk membiayai segala keperluan rakyat. Tak mungkin boleh kita laksanakan itu,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.
Atas sebab itu, Perdana Menteri berkata, antara pengumuman yang beliau lakukan untuk membantu syarikat-syarikat, adalah antara lainnya - subsidi gaji, penangguhan moratorium, serta pemberian dana pinjaman oleh institusi tertentu.
“Kerana yang kita sebut awal tadi, kita kena pastikan bahawa ekonomi kita kena terus maju. Tetapi dalam keadaan kesulitan yang kita hadapi sekarang, kita tetap kena menguruskannya.
"Jadi yang sedang kerajaan lakukan ialah menguruskan keadaan sebegini, dan kita sudah pun mula sekarang … sedikit demi sedikit kita buka semula kegiatan ekonomi secara berfasa. Sampai ke satu tahap di mana kita fikir boleh kita lakukan anjakan lebih besar, itu akan kita lakukan dalam tempoh masa ke hadapan,” katanya lagi.
#COVID-19 #cukai #ekonomi #kerajaan #Muhyiddin Yassin #pekerjaan #Perdana Menteri #PM #rakyat #subsidi
;