PKP: Kenaikan nilai kompaun terima pelbagai reaksi masyarakat
Adie Sufian Zulkefli
Januari 31, 2021 11:49 MYT
Januari 31, 2021 11:49 MYT
ALOR SETAR: Cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaikkan nilai kompaun kepada mereka yang didapati bersalah ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan ketara kes COVID-19 di negara ini mengundang pelbagai reaksi penduduk di Kedah.
Rata-rata mereka yang ditemui Astro AWANI menyatakan persetujuan dan tidak kewajaran dengan menaikkan kompaun itu bagi mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dan patuh dengan arahan kerajaan.
Bagi Faizah Abu Bakar, 62, sekiranya nilai kompaun itu dinaikkan ia sangat memberi kesan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah untuk melunaskan kompaun terbabit.
Selain itu, katanya, ada juga dalam kalangan masyarakat yang hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan kesan daripada pandemik COVID-19 ini.
“Saya tidak setuju dengan cadangan menaikkan kompaun. Saya rasa penguatkuasaan itu harus ditingkatkan. Ini akan mendatangkan masalah kepada rakyat,” katanya.
Namun ada yang berpandangan kompaun tersebut wajar dinaikkan kerana dengan ketegasan ini dapat mendidik orang ramai supaya takut dan patuh dengan SOP yang digariskan pihak berkuasa.
Haris Ibrahim, 60, berkata kebanyakkan saman yang dikeluarkan kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka sedangkan telah setahun COVID-19 berada bersama kita.
Malah lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh dan ini mengundang kepada kemerebakan COVID-19.
“Orang akan lebih takut jika kompaun dinaikkan. Ia harus dilakukan kerana ketika ini jumlah kes jangkitan COVID-19 sedang meningkat,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM akan menaikkan kadar kompaun ekoran tahap kepatuhan rendah dan orang ramai tidak takut dengan ancaman COVID-19 ini.
Katanya, kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan.
Abdul Hamid berkata anggotanya telah diarahkan untuk mengeluarkan saman kepada mereka yang ingkar tanpa memberi ruang dilepaskan dengan amaran.
Penularan COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak ketika ini, dengan jumlah kes harian baharu menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,728 kes dilaporkan semalam manakala Kedah mencatatakan kes harian 99 kes.