PKP: Kedai gunting, kedai cermin mata dan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi
Astro Awani
April 13, 2020 14:34 MYT
April 13, 2020 14:34 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan, dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menilai dan mendengar pandangan rakyat, serta nasihat pakar terlibat.
"Beberapa hari lalu isu berlegar-legar ialah mengenai kedai gunting rambut. Seperti saya sebutkan dalam sidang media dua hari berturut-turut, kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat, kerajaan mendapat nasihat pakar, kerajaan mendengar suara badan NGO.
"Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan iaitu operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan, dan kedai cermin mata seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Justeru, keputusan dibuat kerajaan itu akan menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan banyak pihak berhubung langkah kerajaan sebelum ini.
"Jadi, saya kira ini menjawab segala persoalan yang ditimbulkan rakyat, maka Perdana Menteri memutuskan bahawa isu yang berkaitan dengan kedai gunting rambut dan sebagainya, kerana ia tidak dibenarkan sepanjang PKP dilaksanakan," ujarnya.
Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar kerajaan menangguhkan sementara kebenaran operasi kedai gunting rambut serta beberapa sektor lain semasa PKP fasa ketiga.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memutuskan semua bentuk bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
"Kerajaan telah mendengar pandangan rakyat, kerajaan juga mendapat nasihat daripada pakar-pakar tertentu dan badan bukan kerajaan mengenai perkara seperti ini," katanya lagi.
#Bazar Ramadan
#COVID19
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Kesihatan
#kerajaan
#keselamatan
#kesihatan
#KKM
#Malaysia
#Media
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#NGO
#operasi
#Perdana Menteri
#rakyat