PKP: KDN arah agensi penguatkuasaan tingkat operasi pemantauan

Astro Awani
Mei 24, 2021 21:04 MYT
Pemantauan juga akan dilakukan di bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail serta melalui perkhidmatan e-hailing. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah meningkatkan bilangan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan selain menambah bilangan kekuatan anggota serta operasi sekatan jalan raya (SJR), pemantauan juga akan dijalankan di seluruh negara termasuk di premis perniagaan dan industri.
Pemantauan juga akan dilakukan di bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail serta melalui perkhidmatan e-hailing, menurut kementerian itu.
Antara agensi penguatkuasaan di bawah KDN yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
KDN memantau rapat perkembangan penularan wabak COVID-19 dalam negara dan meminta semua pihak agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak yang boleh membawa maut itu.
Sejak PKP dilaksanakan dan sehingga kini, seramai 100,980 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi KDN terlibat dalam penugasan COVID-19, menurut kenyataan itu.
#KDN #tingkat pemantauan #penguatkuasaan #PKP #Kementerian Dalam Negeri
;