PKP: Joging, berbasikal, senaman kini dibenarkan mulai 8 Mei
Bernama
Mei 7, 2021 22:57 MYT
Mei 7, 2021 22:57 MYT
KUALA LUMPUR: Aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter kini boleh dijalankan bermula 8 Mei 2021.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan kelonggaran itu diberi setelah Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mempertimbang rayuannya untuk melihat semula keputusan berhubung prosedur operasi standard sektor sukan serta rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei 2021.
"Kelonggaran-Kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam Mesyuarat Teknikal MKN seterusnya," menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook KBS itu.
Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menzahirkan rasa terima kasih kepada ahli Sidang Khas MKN khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan KBS.
Pada masa sama, Reezal Merican menyeru peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP ini.
"Kita masih belum menang dalam melawan penularan COVID-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan" katanya.
Semalam, Sidang Khas MKN memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.
Bagaimanapun, beberapa aktiviti seperti program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep 'Camp Based Training' antara yang dibenarkan.
Perkembangan itu secara tidak langsung mengundang pelbagai reaksi masyarakat apabila aktiviti riadah seperti bersenam, joging dan berbasikal bersendirian tidak dibenarkan.
-- BERNAMA
#PKP
#joging
#berbasikal
#aktiviti sukan
#tanpa sentuhan
#penjarakan fizikal
#SOP
#Kementerian Belia dan Sukan
#KBS
#MKN