PKP: JAWI laksana SOP baharu solat Jumaat, fardu di masjid dan surau
Astro Awani
Mei 27, 2021 00:37 MYT
Mei 27, 2021 00:37 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa 28 Mei 2021.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail memaklumkan, ia susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan terlibat.
Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) solat Jumaat dan solat fardu di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bilangan jemaah dibenarkan hanya 12 orang sahaja yang terdiri dari imam, bilal, noja dan ahli Jawatankuasa (AJK) dengan penjarakan 1.5 meter.
Sementara bagi solat fardu di surau PPR dan PA DBKL, bilangan jemaah dibenarkan hanya tiga orang sahaja yang terdiri dari imam, bilal dan noja atau AJK dengan penjarakan 1.5 meter.
Bagi solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat (bukan PPR dan PA DBKL) yang berkapasiti 1,000 jemaah ke atas, bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi 50 orang dengan penjarakan 1.5 meter.
Manakala bagi kapasiti 1,000 jemaah ke bawah, bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi 20 orang dengan penjarakan 1.5 meter.
Bagi solat fardu di masjid, surau Jumaat dan surau (bukan PPR dan PA DBKL), bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi 12 orang yang terdiri dari pegawai masjid dan ahli Jawatankuasa sahaja dengan penjarakan 1.5 meter.
Untuk kawasan PKPD pula, Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor, manakala bagi solat fardu dibenarkan dengan bilangan jemaah tiga orang sahaja iaitu imam, bilal dan noja atau AJK.
Sementara Pengurusan jenazah yang melibatkan bukan pesakit COVID-19 hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan had maksimum jurumandi dan petugas lima orang.
Solat jenazah hendaklah tidak melebihi 12 orang jemaah serta kehadiran bagi pengebumian jenazah tidak melebihi 15 orang termasuk ahli keluarga terdekat.
#SOP
#Kuala Lumpur
#JAWI
#Putrajaya
#perintah kawalan pergerakan
#Solat Jumaat
#solat fardu
#PKPD
#PKP
#COVID-19