PKP: Input NGO penting, bantu JKM selaraskan bantuan
Harits Asyraf Hasnan
April 2, 2020 13:54 MYT
April 2, 2020 13:54 MYT
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan mereka yang kurang bernasib baik terus menerima bantuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid berkata setiap NGO mempunyai senarai individu atau keluarga yang sering menerima bantuan.
Ia sekali gus membolehkan JKM menerima maklum balas dan perincian keluarga miskin bandar yang sebelum ini sering menerima bantuan barangan mengikut keperluan masing-masing.
“Saya takut ada yang masih belum dapat, di mana ada sekumpulan kecil yang mungkin tak dapat keluar (disebabkan PKP).
“Jadi kita nak pastikan NGO yang jaga mereka (penerima bantuan) menyampaikan mesej daripada mereka kepada JKM, sama ada mereka dapat makanan atau barang keperluan dapur... atau masih ada makanan dan keperluan tidak sampai kepada mereka.
“Kita kena pastikan daripada tiap-tiap kumpulan NGO. Jadi kena ada NGO. NGO yang tahu keperluan setiap penerima. Kalau bergantung kepada JKM, mereka tidak tahu siapa yang belum terima. NGO adalah badan yang dapat menyampaikan semula maklum balas sama ada mereka sudah terima bantuan atau belum,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya, ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyampaikan makanan yang telah dimasak ke pusat-pusat penempatan.
Menurutnya, beliau berasa sedikit lega apabila lebih 500 individu telah berada di keempat-empat pusat penempatan khusus buat gelandangan dan miskin bandar.
“Untuk pemberian makanan kepada yang sudah ada di pusat... (iaitu) yang diselamatkan oleh DBKL dan telah berada di pusat penempatan, tidak ada masalah.
“Tapi masih ada yang datang kepada kita untuk ambil makanan lagi.
“Ada ibu dengan anak, mereka berkeluarga yang tinggal di bilik, kita kena pastikan barang dapur diberikan kepada mereka,” ujarnya.
Malah, katanya individu yang masih tidak berada di pusat penempatan masih boleh mendapatkan bantuan makanan di Medan Tuanku.