PKP: Ikan kering, masin kurang dapat sambutan menjelang Ramadan
Adie Sufian Zulkefli
April 23, 2020 09:08 MYT
April 23, 2020 09:08 MYT
Ketiadaan pelanggan termasuk pemborong datang ke rumah selain kekangan untuk keluar membuat pengedaran sendiri menyebabkan produk ikan kering dan ikan masin pengusaha di Kuala Sungai, Kuala Kedah, merudum menjelang Ramadan, tahun ini.
Keadaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini jelas berbeza bagi pengusaha di kawasan itu termasuk pasanganZainol Abidin Shuib, 63, dan Salasiah Bakar, 61, yang sudah 15 tahun mengusahakan perniagaan berkenaan.
Mereka berkata, setiap kali menjelang Ramadan, ikan kering dan ikan masin keluaran pengusaha kawasan itu menjadi buruan orang ramai sebagai juadah pembuka selera ketika bersahur, namun kini kurang mendapat sambutan
Zainol berkata, biasanya seminggu sebelum Ramadan ikan kering dan ikan masinnya telah habis dijual.
"Tapi tahun ini saya tak boleh buat apa. Tahun lepas jualan bagus, tahun ini susah sikit. Orang Kuala Lumpur (peniaga dan pemborong) pun tak boleh datang ambil bekalan disebabkan COVID-19 (PKP).
"Dulu saya pergi hantar ikan masin dan ikan kering ini ke banyak kedai di luar kawasan termasuk di Jitra, Kepala Batas dan Pendang, tapi tahun ini tak boleh bergerak bebas seperti dulu.
"Sekarang kami mengharapkan pelanggan yang datang beli di rumah selain jualan di pasar di kampung berhampiran saja. Memang jualan kurang baik seperti sebelum ini," katanya kepada Astro AWANI.
Salasiah pula berkata, bekalan ikan mentah dari nelayan tempatan juga kurang beberapa minggu ini, menyebabkan dia terpaksa mendapatkan ikan gelama daripada nelayan di Kuala Sanglang, dekat sini, untuk dijadikan ikan kering dan masin.
"Ikan pun susah nak dapat, kadang-kadang empat hingga lima hari baru ada... baru-baru ini tiada bekalan (di pangkalan nelayan) selama berapa hari... sekarang baru ada," katanya.
Setiap hari Zainol dan Salasiah menghasilkan lebih 50 kilogram ikan kering dan ikan masin dan dijual dengan harga RM25 sekilogram bagi gred A,gred B (RM20) dan gred C (RM15).
#Alor Setar
#bot
#COVID-19
#ikan kering
#ikan masin
#Kedah
#koronavirus
#nelayan
#PKP
#Ramadan
#rumah