PKP: Harga siling topeng muka ditetapkan pada RM1.50 - Ismail Sabri
Astro Awani
Mac 30, 2020 14:31 MYT
Mac 30, 2020 14:31 MYT
Kerajaan mengumumkan harga siling bagi topeng muka pada kadar RM1.50.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga berkenaan sekali gus lebih rendah berbanding yang ditetapkan pada RM2.00 sebelum ini.
Bagaimanapun, kerajaan akan mengkaji semula dari semasa ke semasa harga siling berkenaan.
"Mesyuarat bersetuju harga siling topeng muka adalah RM1.50. iaitu 50 sen lebih murah daripada yang ditetapkan lebih awal iaitu RM2.00. Kita akan terus kaji dari semasa ke semasa. Jika harga yang dibeli lebih murah, kita akan kaji harga dan umum harga baru," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Harga siling topeng muka berkenaan akan berkuatkuasa pada Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April ini.
Dalam pada itu, kerajaan tidak menetapkan harga siling ke atas cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer di pasaran.
"Setakat hari ini, KPDNHEP belum menetapkan harga siling untuk hand sanitizer sebab ia mempunyai jenama yang berbeza yang harganya mempunyai harga yang berbeza. Ada yang diimport, ada yang keluaran tempatan dan sebagainya," tambahnya.
Bagaimanapun, Ismail berkata, kerajaan sedia mengkaji cadangan berkenaan sekiranya ada keperluan.
"Jadi, kita tidak membuat ketetapan harga siling, harga terkawal bagi hand sanitizer seperti topeng muka. Namun kita akan bincang dengan KPDNHEP jika ada keperluan," ujar beliau lagi.
#coronavirus
#COVID19
#hand sanitizer
#harga siling
#ismail sabri yaakob
#kerajaan
#koronavirus
#Media
#menteri
#topeng muka