PKP Fasa II: Waktu operasi perniagaan 8 pagi - 8 malam di Perak - MB

Aida Aziz
April 2, 2020 16:52 MYT
Ahmad Faizal berkata, hospital swasta, klinik swasta dan farmasi dikecualikan daripada arahan waktu operasi ini. - Gambar fail.
Semua premis kedai makan, kedai serbaneka, pasar raya, stesen minyak dan kedai runcit di seluruh Perak hanya boleh beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam, bermula Jumaat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal berkata, penyelarasan waktu operasi itu turut meliputi perkhidmatan pandu lalu, kedai 24 jam serta perkhidmatan penghantaran makanan dan rangkaian restoran makanan segera.
Katanya, ketetapan ini berkuatkuasa sehingga 14 April atau sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik.
Bagaimanapun Ahmad Faizal berkata, perkhidmatan hospital swasta, klinik swasta dan farmasi adalah dikecualikan daripada arahan waktu operasi berkenaan.
"Selain itu, waktu operasi bagi pasar awam ditetapkan dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari, pasar borong dari jam 4 pagi hingga 10 pagi, bengkel membaiki kenderaan dan tayar serta kedai kedai alat ganti kenderaan dari jam 8 pagi hingga 4 petang.
"Perkhidmatan tunda kenderaan boleh beroperasi seperti biasa manakala pengangkutan awam ditetapkan waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.
"Waktu operasi mesin ATM di cawangan-cawangan perbankan dari 8 pagi hingga 8 malam, kenderaan persendirian hanya dibenarkan di antara jam 6 pagi sehingga 10 malam, termasuk perkhidmatan e-hailing dan teksi.
"Bagi kenderaan persendirian, hanya seorang sahaja dibenarkan keluar iaitu pemandu kecuali pada waktu kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, pengangkutan komersial membabitkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan digalakkan beroperasi dari jam 7 malam sehingga 7 pagi.
Beliau berkata, semua aktiviti riadah dan sosial tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian.
Ahmad Faizal berkata, kelonggaran diberi kepada golongan autism dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan terapi di luar seperti dinasihatkan oleh pakar namun tidak dibenarkan secara berkumpulan.
Dalam pada itu, had tempoh operasi dua kali dalam tempoh seminggu ditetapkan bagi perniagaan seperti kedai barang pertanian (baja dan racun), kedai perkakasan dan penjualan makanan dan ubatan haiwan.
"Kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Panggilan Pengasingan (Isolation Care Centre-ICC) bagi membantu pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak memantau pergerakan serta kesihatan individu di bawah siasatan (PUI) di negeri Perak," katanya.
#Ahmad Faizal Azumu #COVID-19 #fasa kedua #Kedai Serbaneka #larangan #Perak #perintah kawalan pergerakan #PKP
;