PKP Fasa 4 benarkan ketua keluarga keluar bersama seorang lagi ahli keluarga
Isabelle Leong
April 29, 2020 14:10 MYT
April 29, 2020 14:10 MYT
SUSULAN memasuki fasa keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, ketua keluarga yang keluar untuk membeli makanan, ubat-ubatan atau barangan keperluan harian boleh membawa seorang lagi anggota keluarga bersama.
Kebenaran berkenaan adalah berdasarkan kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan pada Selasa.
Peraturan yang diterbitkan dalam warta berkenaan adalah mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuat kuasa mulai Rabu hingga hari terakhir fasa keempat PKP iaitu 12 Mei depan.
Warta kerajaan tersebut menyebut, Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu menyebut individu yang keluar bersama itu mestilah merupakan anggota keluarga yang tinggal serumah.
Peraturan yang sudah dikemas kini tersebut juga memperluas barangan yang boleh dibeli.
Bagaimanapun, pergerakan untuk membeli makanan, ubat, penokok diet, keperluan harian atau apa-apa barangan lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan tidak boleh melebihi radius 10 kilometer dari kediamannya.
Peraturan baharu yang diwartakan itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu memasuki fasa keempat hari ini dan dijangkakan akan tamat pada 12 Mei ini.
#ahli keluarga
#Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
#berdua
#COVID19
#ketua rumah
#Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP