PKP diperketat tanpa amaran jika keadaan mendesak - Takiyuddin
Muhafandi Muhamad
Mac 28, 2020 14:06 MYT
Mac 28, 2020 14:06 MYT
Perintah Kawalan Pergerakan mungkin akan diperketatkan sekiranya keadaan mendesak tanpa ada amaran dikeluarkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak berkuasa telah melakukan hebahan sebelum dan ketika tempoh PKP dilaksanakan.
Malah kata beliau, kerajaan melaksanakan PKP dengan tegas tetapi penuh hemah.
"Saya rasa kalau keadaan mendesak memang tiada halangan (untuk perketatkannya).
"Tangkapan dan denda yang dikenakan ke atas seseorang individu yang tidak mematuhi PKP juga menjadi satu peringatan kepada masyarakat," katanya.
Takiyuddin menjelaskan, undang-undang yang diguna pakai kerajaan pada pelaksanaan PKP tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang sengaja tidak mematuhinya.
Ujar beliau, kelonggaran kepada rakyat juga diberikan dengan membenarkan ketua keluarga keluar membeli barangan keperluan.