PKP di Sabah akan diputuskan atas nasihat KKM, MKN Isnin depan - Ismail Sabri
Umavathi Ramayah
November 7, 2020 17:01 MYT
November 7, 2020 17:01 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sebaliknya di Sabah akan diputuskan dalam mesyuarat teknikal, Isnin depan.
Ia adalah berikutan hampir kesemua daerah di negeri itu diisytiharkan zon merah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebarang perubahan perintah pergerakan akan diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Saya percaya dengan banyaknya kawasan merah, kita tidak tahu ke arah mana kita nak pergi.
"Isnin depan MKN dan KKM akan bentangkan dalam sidang khas. Hari Isnin akan diselesaikan dan diumumkan," katanya pada sidang media di sini, pada Sabtu.
Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri berkata sekiranya ia melibatkan perubahan dalam perjalanan sektor ekonomi, mesyuarat khas akan turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Dalam pada itu katanya, Peguam Negara juga perlu mewartakan setiap perubahan yang berlaku.
"Semua prosedur operasi standard (SOP) juga akan diwartakan," katanya.
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#Majlis Keselamatan Negara
#Kementerian Kesihatan
#Peguam Negara
#Sabah