PKP di dua daerah di Sarawak, Penjara Simpang Renggam dan kuarters kakitangan dikenakan PKPD
Madiha Abdullah
Januari 31, 2021 18:59 MYT
Januari 31, 2021 18:59 MYT
KUALA LUMPUR: Dua daerah di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala Penjara Simpang Renggam dan kuarters kakitangan di Kluang, Johor pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, ia adalah susulan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di kawasan-kawasan terbabit.
"Dua daerah di Sarawak adalah Song dan Kapit, yang mana PKP akan bermula dari 2 Februari hingga 15 Februari.
"Penjara Simpang Renggam dan kuarters kakitangan pula akan dikenakan PKPD bermula 1 hingga 14 Februari.
"SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.
"SOP PKP pula sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dua wakil isi rumah, pergerakan kecemasan dengan kebenaran PDRM dan aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja bermula jam 6:00 pagi sehingga 8:00 malam," katanya dalam kenyataan media harian.
Pelaksanaan PKP dan PKPD ini, tambahnya, akan membantu memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan saringan secara bersasar untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti.
#ismail sabri yaakob
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#PKPD
#Kementerian Kesihatan
#COVID-19
#Kluang
#Sarawak