PKP di Bahagian Sibu dan PKPB di seluruh Sarawak dilanjutkan 14 hari

Astro Awani
Januari 27, 2021 10:30 MYT
Lanjutan 14 hari juga dikenakan bagi bahagian-bahagian lain di Sarawak yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Februari sehingga 14 Februari 2021. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuat keputusan melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bahagian Sibu selama 14 hari bermula 30 Januari 2021 sehingga sehingga 14 Februari 2021.
Lanjutan 14 hari juga dikenakan bagi bahagian-bahagian lain di Sarawak yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Februari sehingga 14 Februari 2021.
Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keputusan itu diambil susulan keadaan semasa penularan COVID-19 yang masih belum terkawal sepenuhnya.
“Kes positif di Sarawak masih tinggi dan bilangan kawasan hijau semakin berkurangan.
“Setakat hari ini hanya tinggal 11 daripada 40 daerah yang dikategorikan sebagai zon hijau dan ini menunjukkan situasi COVID-19 di Sarawak belum lagi terkawal,” kata Uggah pada sidang media harian COVID-19 pada Rabu.
Selain itu, Sarawak hari ini melaporkan pertambahan dua kluster baharu COVID-19 melibatkan Kluster Indah Riang di Kuching dan Kluster Bedayan di Serian.
Penambahan dua kluster ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di negeri itu meningkat kepada 10 kluster.
“Kes indeks kepada Kluster Indah Riang adalah kes 3,107 yang dikesan pada 23 Januari 2021 di Hospital Umum Sarawak kerana mengalami simptom.
“Hasil pengesanan aktif kontak kes,15 kes positif dikesan dan setakat ini 128 individu telah disaring dengan 16 disahkan positif manakala 98 individu masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambah Uggah.
Manakala bagi Kluster Bedayan, kes indeks dikesan menerusi kes 2,545 pada 20 Januari 2021 menerusi saringan kes individu bergejala di Klinik Kesihatan Serian.
Hasil pengesanan kontak kepada kes indeks, 12 kes positif telah termasuk dua kes baharu hari ini.
Setakat ini, 112 individu telah disaring dengan 61 individu disahkan negatif manakala 38 masih menunggu keputusan ujian makmal.
#PKP di Sibu #PKPB di Sarawak #COVID-19 di Sarawak #Kluster baharu di Sarawak #kluster aktif di Sarawak