PKP: Daftar di aplikasi Gerak Malaysia jika mahu pulang - Ismail Sabri
Rahimah Abdullah
April 22, 2020 15:50 MYT
April 22, 2020 15:50 MYT
Orang ramai yang berada di kampung dan berhasrat untuk pulang ke ibu kota boleh mendaftar diri melalui aplikasi Gerak Malaysia, bermula 25 April ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei setelah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, mereka yang tiada kemudahan Internet boleh mendaftar diri di balai polis yang berdekatan dengan syarat membuat temu janji terlebih dahulu dengan pihak balai polis berkenaan.
"Keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei setelah mendapat kelulusan MKN atas nasihat KKM. Buat masa ini, kerajaan tidak memberi sebarang jaminan (mengenai) pergerakan memandangkan kita menunggu laporan (daripada pendaftaran) yang akan bermula 25 April ini.
"Waktu itu (25 April) nanti kita boleh tengok seramai mana orang yang mahu pulang. Kemudian baru kita boleh merancang dan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kita akan kaji dahulu buruk dan baiknya dan lebih penting kita kena dapatkan nasihat KKM," katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.
Aplikasi Gerak Malaysia dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
#COVID19
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Kesihatan
#kerajaan
#keselamatan
#kesihatan
#KKM
#Malaysia
#Media
#menteri
#operasi
#PDRM
#polis
#Polis Diraja Malaysia
#SKMM
#SOP