PKP: Cuti pegawai, anggota polis di seluruh negara dibekukan - KPN
Bernama
Januari 12, 2021 22:32 MYT
Januari 12, 2021 22:32 MYT
KUALA LUMPUR: Cuti semua pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibekukan serta-merta berikutan peningkatan kes COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, arahan itu dikeluarkan untuk menjamin kekuatan maksimum Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan PKP dan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Hanya pegawai dan anggota polis yang mempunyai hal-hal kecemasan diberi kelonggaran untuk bercuti dan PDRM amat bersimpati dengan keluarga polis yang meninggal dunia kerana COVID-19… diharapkan dengan pembekuan cuti mereka ini, PDRM akan dapat menyediakan barisan petugas yang komited memastikan pematuhan SOP ini dipatuhi orang ramai.
“Saya telah mendengar taklimat (berhubung peningkatan kes COVID-19) daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan hasil taklimat itu, PDRM melihat keputusan pelaksanaan PKP ini amat wajar sekali,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.
Beliau berkata, sekiranya PKP tidak dilaksanakan, keadaan akan menjadi lebih menakutkan jika tindakan drastik tidak diambil serta-merta.
“Majlis Keselamatan Negara telah mengambil keputusan yang amat tepat dengan melaksanakan PKP bermula tengah malam ini,” katanya. - BERNAMA
Ikuti perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini
#perintah kawalan pergerakan
#PDRM
#Polis Diraja Malaysia
#cuti polis
#Cuti dibekukan
#Ketua Polis Negara
#Abdul Hamid Bador