PKP bukan penghalang jana pendapatan tambahan

Astro Awani
April 9, 2020 18:46 MYT
Ronah turut mempraktikkan amalan-amalan pencegahan yang digariskan antaranya memastikan para pelanggan mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas membeli makanan di warungnya. FOTO: Astro AWANI
Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya mengehadkan pergerakan orang ramai untuk menjalani rutin harian seperti biasa.
Namun ia bukan penghalang bagi peniaga makanan ini untuk mencari rezeki seperti biasa malah boleh menjana pendapatan.
Bagi penguasaha 3B Café di Malihah, Kuching yang sudah berkecimpung dalam perniagaan ini sejak 20 tahun lalu, Ronah Lias, keuntungan yang diraihnya sepanjang tempoh PKP ini luar biasa berbanding hari-hari sebelum ini.
Ronah menjual nasi campur dengan pelbagai jenis lauk-pauk yang memenuhi permintaan orang ramai.
Bukan sekadar raih keuntungan semata-mata, Ronah turut mempraktikkan amalan-amalan pencegahan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antaranya memastikan para pelanggan mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas membeli makanan di warungnya.
“Setakat ini semua pelanggan yang datang mengikut peraturan-peraturan ini dan tiada bantahan daripada mereka,” katanya ketika ditemui wakil Astro AWANI di Kuching baru-baru ini.
Tambahnya lagi, operasi perniagaan warungnya masih diteruskan kerana mendapat permintaan daripada pelanggannya.
“Ada anak-anak yang ibu dan bapa mereka masih bekerja ketika ini jadi tiada siapa yang menyediakan makanan, jadi penting untuk peniaga makanan seperti saya terus beroperasi dengan mengamalkan perkara-perkara yang wajib sepanjang tempoh ini," katanya.
Bagi salah seorang pelanggan, Mohd Ikhsan Matrang berkata, amalan mencegah COVID-19 yang dipraktikkan di warung milik Ronah itu nyata beri keyakinan kepada pelanggan sepertinya untuk terus membeli di premis tersebut.
“Oleh kerana banyak kedai di sini tutup jadi saya memilih untuk membeli makanan di sini dan daripada pemerhatian saya, warung ini sangat mementingkan amalan pencegahan yang tinggi, bagi saya lebih baik beli makanan di sini dan bungkus bawa pulang daripada beratur beramai-ramai di pasar raya," katanya.
Untuk bulan ramadan ini, Ronah berkata, perniagaannya akan menggunakan kaedah pemasaran menggunakan media sosial dan penghantaran akan dijalankan ke kawasan setempat sahaja.
#COVID-19 #Kuching #perintah kawalan pergerakan #Ramadan #Ronah Lias #Sarawak #Taman Malihah
;