PKP bukan halangan seorang ibu tunggal pastikan perniagaan kekal 'bernafas'
Bernama
April 29, 2020 09:05 MYT
April 29, 2020 09:05 MYT
Kerugian RM18,000 kerana terpaksa menolak kira-kira 300 tempahan jahitan baju raya tidak mematahkan semangat ibu tunggal Mahani Udit mencari inisiatif lain untuk mendapatkan pendapatan melalui kemahirannya dalam bidang jahitan.
Sebaliknya Mahani, 30, menggunakan kemahirannya itu dengan menjahit baju daripada cebisan kain perca serta penutup hidung dan mulut daripada kain secara kecil-kecilan dari rumah.
Sebelum ini beliau terpaksa menolak tempahan jahitan baju Melayu serta baju kurung, dan memulangkan wang deposit RM18,000 kerana kedai jahitnya di Kompleks Bukit Jambul tidak dapat beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain pekerjanya diberi cuti.
"Ketika kerajaan mengumumkan PKP, saya hanya ambil 100 tempahan baju sahaja (diusahakan di kediamannya), di samping terpaksa memulangkan deposit pelanggan sebanyak RM18,000," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Bukit Jambul dekat sini, pada Selasa.
Menurutnya, sejak pelaksanaan PKP Fasa 1, beliau menerima tempahan kira-kira 3,000 unit penutup mulut dan hidung yang berasaskan kain dan dijual secara dalam talian pada harga RM5 sehelai.
"Alhamdulillah sambutan yang diterima amat memberangsangkan, sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan bulanan. Saya menggunakan perkhidmatan 'runner' atau pos untuk menghantar tempahan yang sudah siap dijahit," katanya yang mempunyai pengalaman menjahit sejak lima tahun yang lalu.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata selain menjahit penutup mulut dan hidung, beliau turut menjahit baju dari cebisan kain perca yang dijual dengan harga lebih murah antara RM15 dan RM25 sepasang yang turut dijual menerusi medium Facebook.
Ditanya bagaimana beliau mendapatkan peralatan dan bahan jahitan seperti benang, manik, butang dan sebagainya dalam tempoh PKP, Mahani berkata perkara itu tidak menjadi isu besar kerana stok bahan masih cukup selain ia masih boleh ditempah secara dalam talian.
Sementara itu, kecekalannya dalam meningkatkan taraf hidup keluarganya jelas kelihatan apabila beliau turut mengambil keputusan melanjutkan pelajaran melalui pengajian jarak jauh (PJJ) dalam jurusan Diploma Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).
"Bagi saya, masih belum terlambat untuk melanjutkan pelajaran walaupun memegang gelaran ibu tunggal sejak sepuluh tahun lepas di usia yang muda. Saya berharap keadaan sekarang bertambah pulih manakala kegiatan ekonomi dapat berjalan seperti sedia kala ekoran ramai yang terkesan," katanya.
-- BERNAMA
#baju raya
#cebisan kain
#COVID 19
#dalam talian
#ekonomi
#ibu tunggal
#jahit baju
#kain perca
#Kompleks Bukit Jambul
#melanjutkan pelajaran
#pelanggan
#pengajian jarak jauh
#Penutup mulut dan hidung
#PKP
#runner
#tempahan
#tidak beroperasi
#topeng
#tukang jahit