PKP: Beli ikan hantar dari rumah ke rumah
Astro Awani
April 6, 2020 11:31 MYT
April 6, 2020 11:31 MYT
“Daripada membiarkan ikan itu busuk biarlah kami ambil dan jual dari rumah ke rumah,” kata Mohamad Shafie Haja Mydin, 25.
Dia bersama tiga rakannya mengambil keputusan membantu nelayan dan peniaga di pelantar ikan di Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, yang menghadapi masalah lambakan ikan tidak terjual berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka kini mengambil ikan dalam jumlah banyak sebelum membuat penghantaran dari rumah ke rumah.
Mohamad Shafie yang sebelum ini bekerja di sebuah agensi pelancongan di Alor Setar berkata, mereka melakukan tugas itu selepas kerja mereka turut terjejas akibat PKP dan virus COVID-19.
“Kami pun terpaksa bercuti akibat daripada keadaan semasa COVID-19 dan PKP. Kemudian dengar peniaga ikan di kawasan Kuala Kedah hadapi masalah untuk jual ikan sebab orang tak keluar rumah sekarang ini.
“Pemborong pun tak ambil banyak macam biasa. Keadaan itu menyebabkan banyak ikan tidak terjual yang kemudian busuk. Jadi, kami fikir lebih baik kami bantu dengan jadi ‘runner’ dan hantar ke rumah pelanggan.
“Dengan cara ini, kami dapat sedikit pendapatan dan peniaga ikan di kawasan itu pun dapat jual ikan mereka,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Katanya, mereka mengenakan caj penghantaran antara RM1 hingga RM3 bagi setiap pelanggan bergantung kepada lokasi dan mampu memperoleh kira-kira RM70 sehari.
“Mula-mula bukan nak cari untung pun, tapi ramai peniaga adalah kawan saya dan penduduk kawasan taman perumahan saya yang terdiri daripada saudara-mara memang perlukan ikan. Jadi saya fikir, mereka tak perlu keluar, biar saya belikan untuk mereka,” katanya.
Rakannya, Mohd Rasydan yang juga seorang guru agama, berkata mereka biasanya menggunakan motosikal untuk membuat penghantaran dan sesekali menggunakan kereta bergantung kepada keadaan.
“Selalunya saya guna motosikal saja sebab lebih mudah dan cepat,” katanya.
Sementara itu, peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 45, berkata mereka kini buntu memikirkan cara untuk menghabiskan jualan setiap hari.
Katanya, walaupun ada pemborong dari luar negeri ini membeli daripadanya, namun kuantiti yang diambil agak kecil kebelakangan ini.
“Kami mohon kepada sesiapa yang pandai buat penghantaran datanglah tolong ambil dan jual. Kalau tak habis, di mana kami hendak letak ikan ini. Kami dan nelayan sangat memerlukan bantuan. Harga jualan kami pun bukan mahal, cukup makan sahaja,” katanya.
Dia turut merayu supaya Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) membantu mereka dengan membeli ikan untuk dipasarkan ke tempat lain.
Katanya, jika keadaan berterusan, peniaga di kawasan ini berkemungkinan gulung tikar ekoran terpaksa menanggung kerugian setiap hari.