PKP: Bekalan darah di Terengganu hanya cukup untuk seminggu lagi
Sharom Abu Bakar
Januari 23, 2021 20:57 MYT
Januari 23, 2021 20:57 MYT
KUALA TERENGGANU: Bekalan darah di Terengganu hanya mencukupi untuk tempoh tujuh hari lagi.
Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata pola pendermaan darah di negeri itu menunjukkan penurunan sejak seminggu yang lalu.
Dr Mohd Muhaimin berkata lazimnya, sekurang-kurangnya 350 beg darah diperlukan dalam tempoh seminggu bagi menampung keperluan.
“Bagi Terengganu, bekalan darah sedia ada mencukupi untuk tujuh hari.
“Bagaimanapun, kami khuatir jika trend pendermaan yang menurun ini berterusan, mungkin bekalan kami akan berkurang seminggu ke dua minggu lagi.
“Oleh itu, kami bertindak awal dan mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kami kerana kami tidak mahu apabila bekalan sudah berada di tahap kritikal baru kami mengambil tindakan,” katanya.
Katanya lagi, walaupun bekalan darah di negeri itu masih mencukupi, namun ia masih diperlukan bagi kes kecemasan.
Jelasnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan juga, terdapat sedikit penurunan dalam penggunaan darah susulan kekurangan kes kemalangan jalan raya dan sebagainya.
#bekalan darah
#terengganu
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah
#Dr Mohd Muhaimin Kambali
#COVID-19