PKP: Anggota Wataniah diatur gerak ke Sibu sudah jalani ujian saringan
Lynch Cowan
Februari 4, 2021 13:46 MYT
Februari 4, 2021 13:46 MYT
KUCHING: Seramai 126 pegawai dan anggota sukarelawan wataniah yang diatur gerak bagi membantu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Sibu telah menjalani ujian saringan COVID-19.
Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata, pegawai dan anggota yang diatur gerak juga pernah melakukan Ops Penawar di sekitar Kuching.
Tegasnya, misi atur gerak pasukan dari Rejimen 511 askar wataniah dan pegawai itu bukan disebabkan kekurangan anggota di Briged Ke-9 Infantri di Sibu.
"Sebaliknya, langkah itu adalah untuk membantu memantapkan pasukan kerana kebanyakkan anggota dari Briged ke-9 Sibu sudah ditugaskan untuk menjaga sempadan Sarawak bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Mereka ini juga ditugaskan selama tiga bulan dan penugasan mereka ini telah kita laksanakan sebelum berlakunya peningkatan kes COVID-19 di Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Flag-off Perbarisan Atur Gerak Op Penawar ke Sibu pada Khamis.
Kesemua 126 anggota Rejimen 511 Wataniah diatur gerak bagi misi penguatkuasaan tersebut dan mereka akan ditempatkan di lapan Sekatan Jalan Raya (SJR) yang telah dikenal pasti di daerah Sibu.