PKP: Ambil makanan di bazar Ramadan tidak realistik, susahkan polis - Ismail Sabri

Firdaus Azil
April 14, 2020 15:07 MYT
Secara asasnya, Ismail Sabri berkata, tujuan PKP adalah untuk mengehadkan pergerakan orang ramai bagi mengelak penularan wabak COVID-19. Gambar fail/ Bernama.
Kerajaan berpendapat konsep mengambil makanan di bazar Ramadan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak realistik dan menyusahkan polis, biarpun tempahan dilakukan dalam talian, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, secara asasnya, tujuan PKP adalah untuk mengehadkan pergerakan orang ramai bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Sekiranya konsep ‘pack and pick’ itu dibenarkan, jelasnya lagi, ada kemungkinan orang ramai akan menggunakan alasan mengambil makanan di bazar Ramadan semata-mata untuk keluar rumah dan seterusnya menimbulkan kesulitan kepada polis yang melakukan sekatan jalan raya.
“Ada yang berpandangan, (kalau datang) pesan dan pick up di bazar Ramadan boleh menyebabkan pergerakan yang ramai, jadi order dahulu melalui dalam talian (kemudian datang ambil)... kalau physically pick up juga, itu boleh menyebabkan kesesakan dan pergerakan (ramai).
“Idea PKP adalah supaya rakyat tidak boleh berikan alasan untuk keluar. Kalau ada saja tempat untuk pick up beli barangan, akhirnya polis yang mengalami kesukaran, sebab bila sampai ke tempat sekatan, beri alasan order barang nak pic kup...Jadi semua orang akan guna alasan sama,” katanya lagi.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konsep ‘pack and pick’ yang membolehkan orang ramai mengambil makanan yang ditempah di kawasan yang ditentukan.
Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, kementeriannya akan membentangkan perincian konsep baharu bazar Ramadan kepada Jawatankuasa Khas Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Khamis ini.
BACA: KWP perinci konsep baharu bazar Ramadan kepada Jawatankuasa Khas PKP
Ahli Parlimen Ketereh itu turut berkata, cadangan awal e-bazar Ramadan itu membolehkan pengguna menggunakan kaedah pandu lalu untuk mengambil makanan yang ditempah, atau perkhidmatan penghantaran.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, larangan bazar Ramadan masih berkuat kuasa, namun Kabinet akan melihat dan membincangkan kemungkinan untuk e-bazar Ramadan.
#Annuar Musa #Bazar Ramadan #COVID-19 #e-Bazar Ramadan #ismail sabri yaakob #kabinet #kluster keselamatan #koronavirus #Menteri Kanan #Menteri Wilayah Persekutuan #Parlimen #perintah kawalan pergerakan #PKP
;