PKP: Ahmad Said sudah beri keterangan kepada polis

Nur Fazlizai Ali
April 22, 2020 11:00 MYT
Ahmad meminta semua pihak tidak menyalahkan sukarelawan yang membantu beliau menghantar bantuan kepada masyarakat. Gambar/ Asto AWANI.
Polis sudah mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, bagi membantu siasatan kes pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, keterangan beberapa sukarelawan yang didakwa berada bersama bekas Menteri Besar Terengganu itu ketika kejadian itu, turut direkodkan.
"Keterangan daripada mereka semua sudah diambil pada Isnin," katanya ketika dihubungi.
Siasatan polis adalah susulan gambar Ahmad bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, selain beberapa lelaki lain menjadi tular di laman sosial kerana didakwa tidak melakukan penjarakan sosial.
Pada Ahad, polis sudah merekodkan keterangan Ahmad Samsuri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Sementara itu, Ahmad berharap rakyat tidak menghukum sukarelawan terbabit kerana mereka sanggup bekerja tanpa sebarang elaun dalam memastikan masyarakat tidak terputus bekalan barangan keperluan dapur di kawasannya.
Beliau turut menjemput individu yang membuat laporan itu untuk bersama-sama sukarelawannya membantu mengagihkan sumbangan kepada penduduk.
“Anak buah kita letih juga buat kerja. Tidak boleh hendak bandingkan antara dua darjat atau apa sahaja yang tidak berkaitan.
“Bukan kita sengaja, takkan hendak hantar bantuan ke 500 atau 600 buah rumah guna tenaga dua atau tiga orang sahaja... tak mampu... (Jadi) pakai manual... hantar guna motosikal,” katanya.
#ADUN #Ahmad Said #media sosial #Menteri Besar #PKP #polis
;