PKP: Ada pihak ambil kesempatan seludup migran - Polis Kemaman
Nur Fazlizai Ali
Julai 3, 2021 08:40 MYT
Julai 3, 2021 08:40 MYT
KEMAMAN: Terdapat sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk melakukan kesalahan jenayah termasuk penyeludupan migran.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata, sejak Januari hingga kini, pihaknya mengenal pasti tiga kes penyeludupan manusia yang dikesan menerusi sekatan jalan raya (SJR).
Menurutnya, kira-kira 10 tangkapan telah dilakukan melibatkan warga asing yang cuba merentas masuk ke negeri ini.
"Kita membuat kawalan PKP, kawalan pergerakan masyarakat, tetapi dari situ juga kita berjaya membuat pencegahan-pencegahan jenayah dan juga narkotik.
"Daripada sekatan-sekatan ini kita membuat beberapa tangkapan sama ada atas kesalahan memiliki dadah atau cubaan imigran memasuki pintu sempadan.
"Contohnya di SJR Perasing ini, kita telah membuat beberapa tangkapan pergerakan manusia yang cuba masuk ke negeri Terengganu," katanya ketika ditemui di SJR tersebut pada Jumaat.
Hanyan berkata, antara modus operandi yang digunakan warga tempatan bagi menyeludup warga asing ialah dengan menyembunyikan mereka di dalam lori dan kenderaan lain.
Menurutnya, selain mengawal pergerakan penduduk, pihaknya juga memfokuskan kepada pencegahan jenayah di daerah tersebut.
Katanya, pihaknya juga turut membuat tangkapan kerana kesalahan memiliki dadah termasuk kes 39B Akta Dadah Berbahaya.
Jelasnya lagi, sepanjang tempoh PKP juga, indeks jenayah di daerah Kemaman menurun sebanyak 20 peratus.
Justeru, pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan tiada pihak mahupun individu yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PKP.
#terengganu
#perintah kawalan pergerakan
#warga asing
#PKP
#Hanyan Ramlan
#Sekatan Jalan Raya
#SJR
#Kemaman
#Dadah
#seludup
#migran
#sembunyi
#Lori