PKP: Ada hikmah di sebalik tidak dapat balik kampung - KSU KASA

Astro Awani
Mei 12, 2021 15:14 MYT
Selain Dr Zaini (atas kanan), Dr Jemilah dan Johan Jaaffar turut menjadi panel sesi berkenaan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tidak dapat pulang berhari raya di kampung merupakan antara hikmah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumum baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) , Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menjelaskan, ia sekali gus mengelakkan kesesakan jalan raya dan pelepasan karbon dari kenderaan.
"Apa kita perlu buat, adalah mengurangkan pencemaran alam sekitar, contohnya penjimatan tenaga. Penjimatan tenaga ini banyak, contohnya semasa PKP ini, kita tidak boleh berjalan jauh, tak boleh balik kampung dan sebagainya. Itulah antara hikmah PKP, kalau tidak kita akan dapati jalan penuh dan pada ketika itu banyak karbon yang dilepaskan.
"Walaupun kita berduka kerana tidak dapat balik kampung, tetapi kalau kita berfikir dari segi positif antara kebaikan tidak boleh balik kampung itu ialah kita mengurangkan pelepasan karbon, menjimatkan tenaga.
"Begitu juga dengan teknologi rendah karbon, kadang-kadang kita tidak perlu menggunakan kenderaan untuk pergi ke surau di hadapan rumah, kita boleh jalan kaki atau naik basikal," katanya semasa sesi webinar 'Raya Lestari' anjuran KASA pada Rabu.
BACA: Kerajaan serius dalam pelaksanaan PKP 3.0 - Ismail Sabri
BACA: Pelaksanaan PKP seluruh negara langkah tepat - WHO
Selain Dr Zaini, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar turut menjadi panel sesi berkenaan.
Sementara, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar, Dr Norhazni Mat Sari menjadi moderator program.
Dalam pada itu katanya, pengurangan kad raya fizikal juga memberikan kesan baik kepada kelestarian hari raya.
Sebelum ini, Dr Zaini dilaporkan berkata, aktiviti berbasikal yang dilihat sebagai satu bentuk riadah dalam kalangan masyarakat sebenarnya boleh dijadikan sebagai salah satu kaedah pengangkutan di negara ini.
Selain dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran dan melindungi alam sekitar, beliau menjelaskan, basikal juga boleh dijadikan sebagai kenderaan bagi golongan berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, masyarakat perlu sentiasa menyedari penyebaran COVID-19 boleh berlaku melalui udara.
Ujarnya, amalan membuka tingkap dan penyaring udara atau kipas di pejabat atau rumah akan melindungi individu dari risiko terkena pandemik.
"Saya ingin memberi satu data, risiko untuk mendapat COVID-19 adalah 18 kali lebih tinggi di dalam satu ruang yang tertutup daripada di luar.
"Jadi ini satu faktor yang sangat penting dan kurang dibincangkan, jadi kalau dapat balik raya, tolonglah buka tingkap, gunakan kipas dan sebagainya dan pakai pelitup muka di dalam rumah jika belum divaksinisasi," jelasnya.
Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menjelaskan, penggunaan sampul duit raya untuk diberi kepada kanak-kanak boleh dikurangkan demi kelestarian alam.
Katanya, ia satu cara yang baik untuk mengitar semula sampul sedia ada yang sudah digunakan sebelum ini.
"Oleh kerana kertas saya fikir tidak ada masalah, namun kerana kertas ini dari pokok, kita kena fikir juga, kita tebang pokok untuk memungkinkan sampul raya (dibuat).
"Jadi itu satu cara yang baik untuk kitaran semula dan saya fikir sekarang orang sudah tidak menghantar lagi kad hari raya fizikal, ini pun sudah banyak diulang supaya kita dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar.
#PKP #pelitup muka #hari raya #pandemik #kesihatan #COVID-19 #Raya Lestari #perintah kawalan pergerakan #Dr Zaini Ujang #Kementerian Alam Sekitar dan Air #KASA #Dr Jemilah Mahmood #Pelaksanaan PKP #Johan Jaaffar
;