PKP: 958 individu ingkar SOP ditahan polis
Umavathi Ramayah
Jun 14, 2021 20:32 MYT
Jun 14, 2021 20:32 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 958 individu ditahan polis dalam tempoh 24 jam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, 47 individu direman sementara 910 lagi dikompaun.
"Daripada jumlah itu 232 individu ditahan kerana tiada penjarakan fizikal, rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (196), tidak memakai pelitup muka (135) dan 112 individu lagi gagal merekodkan butiran diri.
"Sementara 105 individu lagi ditahan kerana tidak patuh arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan (63), pengunjung pusat hiburan (38), gagal patuhi arahan (lapan) dan lain-lain (69)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dengan lapan kenderaan darat serta empat buah bot dirampas menerusi Operasi Benteng.
Ismail Sabri turut memaklumkan, jumlah kes import harian melibatkan warga asing kekal berkurangan sejak beberapa bulan lalu menunjukkan kejayaan polisi kerajaan menyekat kemasukan warga asing dengan menutup pintu sempadan termasuk penguatkuasaan Operasi Benteng di kawasan sempadan serta perairan
negara.
"Penutupan pintu sempadan rasmi seperti di lapangan terbang menjadi fokus kerajaan untuk memastikan tiada kemasukan warga asing yang boleh menyumbang kepada penularan kes COVID-19 di dalam negara," jelasnya.