PKP: 401 individu lagi ditangkap kerana ingkar

Fauzi Suhaimi
Mei 4, 2020 14:31 MYT
Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan itu menurun berbanding hari sebelumnya iaitu seramai 414 individu. - Gambar BERNAMA
Seramai 401 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Ahad.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tangkapan itu menurun berbanding hari sebelumnya iaitu seramai 414 orang.
Katanya, angka terbaharu itu menjadikan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP seramai 24,081 individu.
"PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 819 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 441,036 kenderaan.
"Sebanyak 36,434 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,567 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa," katanya dalam sidang media harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejak semalam, tambahan sebanyak 75 operasi sanitasi meliputi 21 zon merah dan kuning di lapan negeri, termasuk 40 operasi di Johor dan 12 operasi di Melaka, telah dilaksanakan.
Katanya, sehingga kini, secara keseluruhan sebanyak 5,217 operasi sanitasi awam sudah dilaksanakan di 65 zon kuning dan merah di seluruh negara.
"Operasi sanitasi berkenaan merangkumi 2,870 bangunan kerajaan; 2,008 tempat awam; 2,182 pusat perniagaan; 1,528 kawasan perumahan termasuk projek perumahan rakyat (PPR) dan 312 pasar raya," jelasnya.
#Angkatan Tentera Malaysia #ismail sabri yaakob #kerajaan #keselamatan #Malaysia #Media #menteri #operasi #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia #rakyat #tentera
;