Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi ketegasan bahawa polis tidak lagi bertoleransi dengan mana-mana pihak yang masih berdegil dan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setakat Selasa, katanya, seramai 337 individu dituduh di mahkamah kerana ingkar PKP dan melakukan kesalahan berkaitan.

"Semalam, PDRM telah menangkap 612 individu kerana ingkar PKP dan kesalahan berkaitan yang merangkumi 590 orang direman, 15 dibebaskan dengan jaminan polis dan 337 orang dituduh di mahkamah.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP hingga 14 April (Selasa) adalah seramai 9,702 individu," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Justeru katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap sesiapa sahaja yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Jadi kita memerlukan kerjasama daripada rakyat," ujarnya.