BACHOK: Tiada had pergerakan dalam daerah sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata tempoh masa operasi perniagaan dibenarkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam kecuali farmasi yang dilanjutkan sehingga jam 10 malam.

"Bagi PKP, tiada had pergerakan kenderaan terutama dalam daerah sama. Yang penting ketika PKP 3.0 ini, semua perniagaan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam kecuali farmasi yang dilanjutkan sehingga jam 10 malam.

"Sekiranya tiada urusan penting, duduk sahaja di rumah," katanya.

Penjelasan itu dibuat susulan ramai yang masih keliru membabitkan pergerakan di atas jalan raya selepas jam 8 malam.

Beliau menjelaskan pergerakan tidak dihadkan asalkan tidak merentas daerah.

Namun beliau menasihati rakyat Kelantan supaya berada di rumah sekiranya tiada urusan penting untuk keluar.