PKP 3.0: Sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial - PMO
Nickyson Nyambar
Mei 21, 2021 20:20 MYT
Mei 21, 2021 20:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO), sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sebulat suara PKP 3.0 itu melibatkan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.
Ujarnya, perincian berkenaan sekatan tambahan itu akan diumumkan esok (Sabtu) 22 Mei 2021.
"Sidang Khas ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan COVID-19.
"Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei 2021," memetik kenyataan itu.
Ujar kenyataan itu lagi, sidang khas itu diadakan bagi meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes COVID-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.
"Sidang khas ini juga membincangkan status pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.
"Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang," jelas kenyataan yang sama.
Pada 10 Mei lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan PKP pelaksanaan bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19.
Ia adalah langkah progresif kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negara.
#PKP 3 0
#pandemik
#COVID-19
#Majlis Keselamatan Negara
#pejabat perdana menteri
#Tan Sri Muhyiddin Yassin