PKP 3.0: 'Saya tahu, ini bukan satu keputusan yang popular' - PM

Hilmi Malik
Mei 12, 2021 21:29 MYT
MUHYIDDIN: Pada hemat saya, ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyedari tindakan kerajaan untuk kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apatah lagi sewaktu musim perayaan Aidilfitri merupakan satu keputusan yang tidak disenangi sebahagian besar masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, segala tindakan yang diputuskan kerajaan hanyalah bertujuan untuk melindungi masyarakat daripada penularan jangkitan COVID-19.
“Ada yang marah saya kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok.
“Sudahlah tidak boleh balik kampung, ingin ziarah keluarga dan sahabat handai juga tidak boleh, zalim sangatkah kerajaan ini?
“Saya bukan zalim, semua ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari dan kalau saya benarkan ziarah rumah ke rumah kita tidak tahu ada yang datang mungkin positif COVID-19.
“Tetapi pada hemat saya ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas Aidilfitri pada Rabu.
Meskipun begitu, jelas Muhyiddin, tindakan kerajaan sahaja tidak menjamin angka jangkitan COVID-19 untuk menurun, sebaliknya, ia juga bergantung kepada tahap kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu katanya, dalam pelaksaan PKP kali ini, kerajaan tidak menutup sektor ekonomi yang boleh menyebabkan kehilangan sebanyak RM2.4 bilion dalam tempoh sehari.
Namun begitu, pemantauan akan dibuat dengan lebih ketat ke atas premis-premis perniagaan, kilang-kilang serta asrama pekerja untuk mengelakkan jangkitan berlaku dalam sektor-sektor berkaitan.
Menerusi ucapannya itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan petugas hadapan di atas segala pengorbanan dan khidmat bakti sepanjang memerangi wabak.
#Muhyiddin Yassin #COVID-19 #Perdana Menteri #ucapan khas Aidilfitri #PKP #perintah kawalan pergerakan #popular #SOP
;