PKP 3.0: Dulu 'ditinggalkan', kini penduduk Pulau Perhentian kembali bertani, menangkap ikan

Nur Fazlizai Ali
Julai 5, 2021 21:19 MYT
Kesemua usaha yang dilakukan itu bagi memastikan rantaian kelangsungan hidup tidak terputus terutamanya selepas majoriti penduduk di situ hilang punca pendapatan ekoran tiada kemasukan pelancong ke pulau tumpuan pelancong itu. - Foto Nur Fazlizai Ali
PULAU PERHENTIAN: Sekitar 40 tahun lalu, sektor perikanan dan pertanian menjadi nadi utama penduduk di Pulau Perhentian, Besut.
Aktiviti yang aktif sekitar tahun 80-an itu semakin pudar dan tenggelam sehubungan keghairahan masyarakat di situ dilihat lebih cenderung terhadap aktiviti pelancongan sebagai satu sumber ekonomi utama mereka.
Siapa sangka dugaan Sekatan Pergerakan Penuh (PKP 3.0) yang dilaksana pada 1 Jun lalu menyebabkan penduduk kembali menjalankan aktiviti pertanian dan perikanan.
Menurut Nik Zamri Ismail, aktiviti itu bertitik-tolak selepas lebih 90 peratus ekonomi penduduk di kampung yang mempunyai lebih dua ribu penduduk terjejas teruk selepas sektor pelancongan tidak dapat berkembang akibat lanjutan Sekatan Pergerakan Penuh oleh Kerajaan mulai Jun 28 lalu.
Katanya, individu yang bekerja sebagai pengusaha bot terpaksa bergantung kepada industri pelancongan namun selepas sektor berkenaan lumpur, mereka terpaksa beralih kepada bertani dan nelayan.
Kesemua usaha yang dilakukan itu bagi memastikan rantaian kelangsungan hidup tidak terputus terutamanya selepas majoriti penduduk di situ hilang punca pendapatan ekoran tiada kemasukan pelancong ke pulau tumpuan pelancong itu.
"Bermulanya PKP 3.0 ini, penduduk di Pulau Perhentian ini terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara kehidupan bagi menampung perbelanjaan harian.
"Kebiasaannya, sebelum beralih ke sektor pelancongan penduduk di Pulau Perhentian bekerja sebagai pekebun, nelayan. Ada di antara mereka yang menanam lada hitam, durian, mangga, dengan pelaksanaan PKP 3.0 ini, aktiviti ini dihidupkan kembali," katanya.
Sementara itu, Nik Faiza Mat Seman pula berkata, aktiviti pertanian agak menggalakkan sebelum ini.
Katanya, menerusi hasil kebun dan laut penduduk mampu menyara kehidupan keluarga.
Menurut Nik Faiza lagi, apabila sektor pelancongan di pulau ini menjadi tumpuan, hampir 95 peratus penduduk di Pulau Perhentian menjadikan sektor ini sebagai punca utama pendapatan. i
"Namun, PKP 3.0 menyebabkan orang kampung ke bukit untuk membersihkan kembali kawasan yang telah lama ditinggalkan," jelasnya.
Bagi generasi muda pula, sebelum ini mereka hanya mendengar kisah yang dilalui orang tua tentang kelangsungan hidup.
Namun, pelaksanaan PKP 3.0 telah mengheret mereka untuk kembali aktif dalam berkebun dan menangkap ikan bagi menampung kehidupan keluarga.
Jika ada hasil yang lebih dapatlah mereka menjual kepada penduduk sekitar untuk menampung pendapatan.
#COVID-19 #perikanan #pertanian #SOP #PKP #Pulau Perhentian
;