PKP 3.0: Akses internet, rumah sempit antara faktor pelajar mahu kembali ke kampus untuk belajar
Fareez Azman
Jun 16, 2021 18:20 MYT
Jun 16, 2021 18:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kekurangan akses internet dan persekitaran kurang kondusif antara faktor segelintir pelajar di Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur kembali ke kolej mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.
Menurut Pengerusi Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Yusri Mohamad, itu realiti yang dihadapi pelajar terutamanya yang kurang berkemampuan.
"Saya sebagai Pengerusi sebuah kolej swasta, merasai bahawa pelajar-pelajar ini perlu bantuan internet. Ini bukan satu kemewahan tapi keperluan pelajar dalam situasi hari ini.
"Sebahagian pelajar terpaksa memohon balik ke kampus walaupun tidak ideal dalam keadaan sekarang. Antara sebabnya adalah keperluan internet dan situasi belajar.
"Kalau internet baik tapi tidak ada ruang di rumah, adik-beradik berebut dan ibu bapa bermesyuarat, semua mungkin dalam bab itu. Ini antara realiti di luar sana," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Sementara itu, mengulas mengenai bantuan yang disalurkan kepada asnaf, sehingga kini sebanyak RM38.8 juta dibawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Prihatin Kasih Asnaf 3.0 telah disalurkan.
"Kita santuni 11 inisiatif... mereka yang terkesan serta-merta termasuk mereka tersenarai penerima asnaf kita berikan bantuan khas, kemudian seperti peniaga pasar malam, pemandu teksi, ketua keluarga yang memerlukan komputer riba, semua ini kita masukkan dalam bantuan ini meliputi 75,000 orang penerima," katanya lagi.
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Kuala Lumpur
#pelajar
#teksi
#peniaga
#B40
#golongan asnaf
#MAIWP
#majlis agama Islam
#kerajaan
#bantuan
#inisiatif
#peruntukan