PKP: 200 anggota dikerahkan di daerah Kapit dan Song

Astro Awani
Februari 1, 2021 18:38 MYT
Tumpuan anggota penguatkuasaan juga adalah untuk memastikan tiada sebarang perhimpunan atau aktiviti berkumpulan dilakukan. - Astro AWANI
KAPIT: Lebih 200 anggota dari pelbagai agensi penguatkuasaan dikerahkan selama dua minggu di daerah Kapit dan Song susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah itu.
Pelaksanaan PKP di dua daerah itu bermula pada 2 Februari 2021 sehingga 15 Februari 2021.
Menurut Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian, dua sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan membabitkan Jalan Kilometer 2 Kapit-Song dan Jalan Jambatan Baleh.
“SJR ini bagi mengawal kemasukan dari daerah Song dan Sibu ke Kapit dan satu lagi SJR di Jalan Jambatan Baleh bagi menyekat kemasukan dari daerah Bukit Mambung.
“Seterusnya, anggota penguatkuasaan akan terlibat dengan penugasan mengawal pusat kuarantin serta PKRC di Kapit yang melibatkan Dewan Suarah dan Stadium Tertutup Baleh,” katanya.
BACA: Dua daerah di Sarawak dikenakan PKP, ini tumpuan kenyataan media Ismail Sabri
BACA: Penduduk Song, Kapit perlu kekal tenang, patuhi arahan PKP - Alexander
BACA: COVID-19: Kapit kini zon merah, 105 kes positif di Sarawak
Selain itu ujarnya, tumpuan pihaknya juga adalah untuk memastikan tiada sebarang perhimpunan atau aktiviti berkumpulan dilakukan.
Justeru, penduduk di dua daerah itu dinasihatkan untuk tidak keluar sekiranya tiada keperluan yang mustahak dan mendesak.
“Fokus penugasan adalah memastikan penduduk di dua daerah ini untuk terus kekal berada di rumah.
“Sekiranya tiada keperluan untuk keluar, duduk sahaja di rumah dan jangan berkumpul. Usaha ini penting dalam memastikan kita dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 ini,” tambahnya.
Antara anggota yang dikerahkan untuk penugasan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM),Angkata Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
#PKP di Kapit #PKP di Song #Kapit zon merah #COVID-19 di Sarawak #SJR di Kapit #SJR di Song #COVID-19 di Kapit
;