PKP 2.0: Tiga kali tangguh kahwin, masih tiada tarikh sesuai...

Umavathi Ramayah
Januari 18, 2021 16:08 MYT
Ram memberitahu, majlis pertunangan mereka diadakan pada Ogos tahun lalu dengan hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat. - Gambar koleksi peribadi Ram
KUALA LUMPUR : Bak kata masyarakat India, Thai piranthal vazhi pirakkum yang bermaksud, kemunculan bulan Thai akan membuka ruang bagi meneroka peluang-peluang baharu.
Ekoran keunikannya, bulan Thai ini disambut meriah dengan pesta Ponggal (nasi manis) selama tiga hari.
Rumah-rumah dihiasi dengan daun mangga dan lantai dihiasi dengan dekorasi kolam yang dilukis menggunakan tepung beras atau beras berwarna serta ruang masuk utama rumah diikat dengan batang tebu.
Thai maatham atau bulan ke-10 mengikut kalendar India ini dianggap sebagai permulaan baharu bagi orang India untuk lebih maju dan berjaya.
Jadi ia disifatkan sebagai masa yang terbaik untuk mangadakan perkahwinan dan upacara-upacara lain.
Bahkan, ibu bapa dan kakak sulung saya juga memilih untuk berkahwin pada bulan Thai ini.
BACA SEMUA BERHUBUNG PKP 2.0
Kebiasaannya, berpuluh-puluh kad jemputan perkahwinan akan 'membanjiri' rumah orang India pada ketika ini. Malah saya sendiri menerima tiga jemputan perkahwinan daripada rakan-rakan saya.
Malangnya, ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pasangan pengantin terpaksa perkahwinan mereka.
Penetapan tarikh perkahwinan pasangan India bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia mengambil kira beberapa faktor dengan seorang tukang tilik akan menetapkan tarikh dan masa yang sesuai berdasarkan tarikh kelahiran pasangan.
Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik kor dan diberikan kepada keluarga lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin.
Berkongsi dengan Astro AWANI, S. Ram memberitahu, dia sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Jumaat ini.
Katanya, segala persiapan termasuk memberi kad jemputan, membayar deposit kepada dewan, jurusolek, katering, fotografi dan perhiasan siap.
Ujar Ram, wang deposit yang sudah dilunaskan sahaja melebihi RM30,000.
"Saya sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 2019. Namun apabila bapa pengantin perempuan meninggal dunia, sebarang upacara termasuk perkahwinan tidak boleh diadakan dalam tempoh berkabung selama setahun.
"Maka kami menangguh tarikh pertunangan ke bulan April 2020 manakala malam berinai dan perkahwinan pada Ogos 2020.
"Pelaksanaan PKP yang pertama memaksa kami menangguh sekali lagi yang akhirnya pertunangan hanya dapat diadakan pada Ogos dan perkahwinan dianjak kepada bulan Thai (Januari 2021)," katanya kepada Astro AWANI.
Tambah Ram lagi, melihat pada lonjakan kes COVID-19 sejak November lalu, pasangan itu merancang pelan B termasuk melangsungkan perkahwinan mereka di rumah pengantin lelaki dengan hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat.
"Setelah berbincang dengan keluarga untuk mengadakan majlis dalam skala kecil, saya cuba berbincang semula dengan jurusolek (tidak dapat hadir kerana tarikh tersebut ditempah orang orang), pemilik dewan dan beberapa individu lagi untuk mendapatkan semula wang deposit atau sebahagian daripadanya, namun kebanyakan mereka enggan memulangkan deposit atas alasan polisi mereka," katanya.
Seminggu sebelum perkahwinan mereka berlangsung, pasangan itu dikejutkan lagi dengan pengumuman pelaksanaan semula PKP di mana semua majlis keramaian termasuk perkahwinan tidak boleh dilangsungkan.
"Setakat ini saya masih belum mendapat tarikh yang sesuai untuk mengadakan perkahwinan kerana melihat pada peningkatan kes, dikhuatiri PKP akan dilanjutkan lagi," katanya dalam nada sayu.
#tangguh kahwin #majlis keramaian #perkahwinan #bulan Thai #Ponggal #aktiviti sosial #perintah kawalan pergerakan 2 0 #PKP 2 0 #COVID-19 #penularan pandemik COVID-19
;