PKP 2.0: Taska, tadika swasta perketat SOP selepas kerajaan benar beroperasi

Fauzi Suhaimi
Januari 13, 2021 15:37 MYT
Taska dan tadika di Kuala Lumpur dan Selangor menekankan tahap pematuhan SOP sepanjang tempoh ancaman COVID-19.- Gambar fail
KAJANG: Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) terus menguat kuasa prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat selepas kerajaan membenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0).
Memahami situasi semasa, rata-rata mereka mahu memanfaatkan peluang tersebut selain membantu kerajaan mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa taska dan tadika di Kuala Lumpur dan Selangor mendapati, tahap pematuhan SOP menjadi keutamaan.
Antara SOP tambahan termasuk mewajibkan ibu bapa membasuh tangan mereka dan anak-anak semasa menghantar ke taman asuhan atau didikan.
Menurut Pengarah Klinikal Nuha Kids Care Centra, Nurul Sheriena Musa, setiap sejam, pelajar diwajibkan untuk menggunakan cecair pembasmi kuman atau membasuh tangan dengan menggunakan sabun.
"Pemakaian pelitup muka pula agak mencabar di pusat asuhan ini memandangkan mereka adalah pelajar pendidikan khas, jadi kami sebagai guru mengambil inisiatif memakai pelitup muka dan pelindung muka sepanjang masa.
"Selain aktiviti pembersihan atau sanitasi ruang dan alat yang digunakan, kami turut membekalkan masing-masing permainan sendiri kepada pelajar.
"Ini bagi mengelakkan pelajar bercampur menggunakan alat permainan selain memudahkan untuk kita melakukan pembersihan selepas digunakan," katanya di sini pada Rabu.
Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin sebelum ini berkata, kerajaan membenarkan tadika swasta beroperasi di enam negeri yang dikenakan PKP 2.0 bermula hari ini.
Dalam pada itu, Nurul Sheriena berkata, beliau menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kelonggaran meneruskan operasi ketika PKP 2.0 dikuat kuasa.
"PKP sebelum ini tidak membenarkan kami beroperasi dan ia amat-amat mencabar kerana bukan semua anak-anak boleh belajar secara dalam talian.
"Apa lagi bagi anak-anak istimewa seperti ini, mereka memang memerlukan human touch, di mana ia perlu datang secara fizikal," katanya.
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Brainy Bunch Sdn. Bhd., Efizah Mohtar Rasali berkata, pihaknya mengetengahkan konsep Montessori sebagai kaedah pembelajaran.
"Kaedah ini bukan diadakan secara beramai-ramai ketika sesi pembelajaran, sebaliknya dilakukan secara kumpulan kecil sahaja.
"Dengan kaedah itu, kita dapat mengawal anak-anak dalam aspek pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal dan sebagainya," katanya.
#Astro Awani #perintah kawalan pergerakan #menteri #Kanak-kanak #COVID-19 #PKP #SOP #pelitup muka #tadika #TABIKA #taska #PKP2 0
;