PKP 2.0: Suami isteri PJJ dibenar rentas negeri bermula esok - Ismail Sabri
Fauzi Suhaimi
Januari 26, 2021 18:36 MYT
Januari 26, 2021 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kepada pasangan suami isteri jarak jauh atau 'PJJ' untuk melakukan perjalanan rentas negeri bermula esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun mereka perlu mendapatkan surat kebenaran dan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di balai berdekatan sebelum perjalanan.
"Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju membenarkan pasangan suami isteri yang berjauhan disebabkan bekerja untuk merentas negeri bertemu keluarga masing-masing dengan syarat perlu mendapat kebenaran dan kelulusan PDRM terlebih dahulu.
"Walau bagaimanapun, bagi pasangan yang bergejala, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum bergerak pulang," katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan untuk membuka beberapa lagi sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
"Banyak pihak memohon kelonggaran diberikan untuk membenarkan operasi seperti aktiviti pasar malam, kedai gunting rambut, kedai cuci kenderaan dan beberapa sektor lain.
"Setakat ini, kita telah menyerahkan permohonan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membincangkan secara bersama dan meminta juga KKM meneliti permohonan itu sebaik-baiknya.
"Jadi kita akan putuskan dalam masa terdekat," katanya.
#ismail sabri yaakob
#KKM
#PDRM
#perintah kawalan pergerakan
#Majlis Keselamatan Negara
#PKP
#Kementerian Kesihatan
#Polis Diraja Malaysia
#polis
#suami isteri jarak jauh
#rentas negeri
#COVID-19