PKP 2.0: SOP lebih terperinci akan diumumkan esok - Ismail Sabri
Isabelle Leong
Januari 11, 2021 20:50 MYT
Januari 11, 2021 20:50 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) lebih terperinci mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diumumkan pada sidang media jam 5 petang, esok (Selasa).
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kerja Raya juga akan mengumumkan SOP yang berkaitan mengikut kementerian masing-masing.
“Bagaimanapun, SOP yang lebih terperinci akan saya umumkan dalam sidang media harian esok jam 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 malam Rabu ini, hingga 26 Januari, 2021.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.
Pelaksanaan PKP itu melibatkan enam negeri Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Selain itu, enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.
Perlis dan Sarawak pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, Ismail Sabri berkata PDRM telah menahan 572 individu pada Ahad atas kesalahan ingkar arahan PKPP.
“Daripada jumlah itu, seramai 571 individu dikompaun, seorang lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (173) aktiviti pusat hiburan (157), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (115), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (115) dan lain-lain (12),” ujarnya.
Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata lapan kes tangkapan melibaykan seorang tekong dan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya lagi, tiga kenderaan darat juga berjaya dirampas.
#SOP
#prosedur operasi standard
#ismail sabri yaakob
#Menteri Kanan Pertahanan
#PKP
#Kementerian Pendidikan
#Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
#Kementerian Kerja Raya
#Kementerian Kesihatan Malaysia
#KKM
#Muhyiddin Yassin