PKP 2.0: Solat Jumaat di Melaka dibenarkan dengan 45 jemaah
Shuhada Abdul Kadir
Januari 13, 2021 18:46 MYT
Januari 13, 2021 18:46 MYT
AYER KEROH: Pelaksanaan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Melaka dibenarkan dengan kehadiran seramai 45 jemaah tanpa mengenepikan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas negeri bagi menghidupkan ‘syiar Jumaat’ di negeri ini.
“Solat Jumaat di semua surau yang diberikan kebenaran sementara kerana COVID-19 boleh diteruskan dengan terhad kepada 45 orang jemaah sahaja sehingga satu tempoh dimaklumkan kelak.
“Selaku pengerusi dan bagi pihak ahli jawatankuasa Fatwa Melaka, kita mohon kehadiran jemaah ke masjid dan surau yang dibenarkan, untuk mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang diputuskan Kementerian Kesihatan Melaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Bagaimanapun ujarnya, pelaksanaan ceramah umum, kelas pengajian agama dan kelas Al- Quran perlu ditangguhkan sepanjang tempoh PKP sehingga 26 Januari ini.
“Jabatan Mufti akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan nasihat daripada KKM.
"Perincian lengkap berhubung aktiviti program dan kelas pengajian di masjid dan surau di negeri ini hendaklah merujuk kepada arahan yang dikeluarkan dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” tambahnya.
Sementara itu, JAIM dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan solat fardhu berjemaah di masjid dan surau hanya terhad kepada lima jemaah sahaja.
Jumlah jemaah itu terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa yang bertugas selain ruang solat utama mesti ditutup selepas selesai pelaksanaan ibadah berkenaan.
#SOP
#KKM
#Islam
#fatwa
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#perintah kawalan pergerakan
#Solat Jumaat
#operasi
#COVID-19
#PKP
#sembahyang jumaat
#PKP 2 0