PKP 2.0: RM150 juta lagi diperuntukkan untuk GKP PERMAI

Hasimi Muhamad
Januari 27, 2021 16:36 MYT
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan tambahan itu dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperluaskan di seluruh negara kecuali Sarawak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM150 juta lagi peruntukan tambahan disalurkan kepada Geran Khas Prihatin (GKP) di bawah Pakej Bantuan Khas Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan tambahan itu dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperluaskan di seluruh negara kecuali Sarawak.
Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan GKP adalah sebanyak RM800 juta berbanding RM650 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu.
"Bagi PKS mikro yang telah pun menerima GKP sebelum ini, mereka tidak perlu mendaftar semula dan bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.
"Untuk makluman semua, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.55 bilion kepada PKS mikro melalui program GKP dan GKP 2.0.
"Dengan GKP PERMAI, jumlah keseluruhan yang telah atau akan disalurkan kepada rakyat adalah berjumlah RM3.35 bilion, hanya untuk langkah GKP sahaja," kata Tengki Zafrul dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA: PERMAI: Kerajaan perluas Geran Khas Prihatin kepada tujuh negeri PKP
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, GKP Tambahan diperluaskan kepada kepada 500,000 PKS di tujuh negeri yang dikenakan PKP dengan bayaran sebanyak RM1,000.
Sementara, 300,000 PKS di negeri lain pula akan menerima RM500.
Bagaimanapun, kerajaan telah melanjutkan PKP sehingga 4 Februari ini di semua negeri kecuali Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul memaklumkan, proses semakan permohonan baharu dan rayuan bagi GKP 2.0 di bawah KITA PRIHATIN sedang dalam proses semak silang antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, keputusan permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat, dan menjangkakan tarikh pembayaran akan dibuat pada Mac ini.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #LHDN #PKS #PKP #PERMAI #KITA PRIHATIN #Tengku Zafrul
;