PKP 2.0: Rakyat Sabah desak SOP diperketatkan lagi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Januari 30, 2021 19:43 MYT
Beberapa cadangan lain antaranya adalah penambahan bilangan sekatan jalan raya (SJR), terutama sekali di sekitar bandar raya. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Rata-rata masyarakat di Sabah akur dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagaimanapun, bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kali ini, terdapat banyak desakan daripada rakyat negeri itu agar kerajaan memperketatkan lagi SOP sedia ada bagi tujuan melandaikan jumlah kes di negari itu.
Dalam tinjauan Astro AWANI di sekitar Kota Kinabalu pada Sabtu, Mohd Azierol, 25, yang merupakan seorang penjawat sektor swasta berkata peningkatan kes positif COVID-19 di negara ini boleh dikaitkan dengan tahap pematuhan masyarakat umum terhadap SOP yang masih lagi di peringkat rendah.
"Contoh-contohnya, pelitup muka. Pelitup muka sangat penting, tetapi adakalanya tidak dititikberatkan, terutamanya di tempat pembinaan. Kadangkala kita nampak, kotor sudah tidak bersih.
"Sepatutnya pelitup muka hanya pakai untuk lapan jam, tetapi diguna lebih daripada masa. Kadang-kadang lebih daripada sehari," ujarnya.
Tambahnya lagi, terdapat juga segelintir individu yang berjalan di tempat awam tanpa mengamalkan penjarakan sosial.
"Nasihat saya kepada semua masyarakat, orang Malaysialah, tolong patuh SOP. Keluar bila perlu, jangan kita keluar daripada rumah jika kita tidak ada tujuan yang penting.
"Jika mahu pergi beli barang pun, jika ada kedai runcit dekat dengan radius anda, pergi sana saja. Tidak perlu pergi pasaraya, pergi pasar besar. Mana yang dekat, guna," katanya lagi.
Azierol turut menyeru orang ramai untuk mengguna sebaiknya perkhidmatan media sosial dan khidmat penghantaran makanan yang ditawarkan bagi memudahkan urusan harian mereka.
"Memandangkan PKP 2.0 pun gagal, dari pandangan sayalah. Saya rasa, ada patutnya kita buat PKPD bagi tempat yang kes dia sangat tinggi. Di mana kes dia tidak tinggi, kita boleh buat PKPB," cadang beliau.
Selain itu, beliau turut mengemukakan beberapa cadangan lain, antaranya adalah penambahan bilangan sekatan jalan raya (SJR), terutama sekali di sekitar bandar raya dan untuk tempoh operasi perkhidmatan-perkhidmatan bukan keperluan dihadkan.
Menurut Awang Rizal Masroh, 42, seorang pengawal keselamatan, memandangkan kes COVID-19 sekarang semakin hari semakin meningkat, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan-jabatan yang berkenaan perlu mengambil langkah untuk lebih berwaspada dan berhati-hati demi kepentingan rakyat.
"Saya perhatikan selama ini, walaupun PKP ini berjalan, namun masih terdapat sebilangan orang yang tidak mematuhi SOP.
"Jadi, saya sebagai rakyat berharap sangat agar kerajaan akan perketatkan SOP ini seperti mula ia diperkenalkan," katanya.
Bagi Bilu Raukan, 58, yang merupakan seorang penjawat awam, dia turut berkongsi pandangan yang sama, malah menurutnya, SOP yang ada sekarang perlu dikekalkan sampai bila-bila, kerana ia akan membantu mengurangkan jangkitan di antara manusia.
"SOP ini adalah baik untuk manusia, untuk mengekalkan kesihatan. Sebab bila kita lihat SOP ini dikuasakan, ada baik daripada tidak dibuat.
"Sudah mencukupi sudah, yang penting setiap individu itu punya keinginan untuk melaksanakan seruan kerajaan untuk SOP ini, itu penting," katanya.
Jelas beliau, jika tidak, ia tidak akan mendatangkan kesan.
"Kalau saya, KKM punya cadangan itu, baik juga, tapi kesan dia ada juga dengan masyarakat.
"Satu, bagi yang berniaga. Bila dia ketatkan lagi, memang merungut jugalah mereka. Satu lagi, yang berpendapatan rendah. Mereka hendak cari makan susah.
"Kalau kita melaksanakan saman, salah satu daripada pendapatan yang mereka dapat itu kalau bayar untuk saman untuk apa tu.
"Yang baiknya, kita kekalkan SOP ni dan kekalkan penjarakan sosial antara manusia dengan manusia supaya penularan COVID-19 ini tidak merebak dengan begitu cepat," katanya lagi.
Untuk rekod, Malaysia telah merekodkan penambahan kes positif COVID-19 yang tertinggi pada Jumaat, dengan 5,725 kes dalam tempoh 24 jam.
Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dijangka akan berakhir pada Februari 4 depan.
#Kota Kinabalu #Astro Awani #COVID-19 #KKM #perintah kawalan pergerakan #PKP #PKPB #PKPD #Majlis Keselamatan Negara #pelitup muka #penjarakan sosial #Malaysia #kes positif #rakyat Sabah
;